Pengasuh Al Fateh akan dituduh kerana membunuh esok

Oleh – Syeikh Baran


Pengasuh Al Fateh akan dituduh kerana membunuh esok

Pengasuh wanita yang ditahan berhubung kes kematian Muhammad Al Fateh Amri Mohd. Fikry Amri, 8 bulan, di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) akan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah atas pertuduhan membunuh esok.



Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, kertas siasatan telah dilengkapkan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Melaka dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Arahan untuk pendakwaan telah dikeluarkan dan suspek yang berusia 34 tahun itu akan dituduh pada pukul 9 pagi esok di Mahkamah Alor Gajah.

“Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

“Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.



Kosmo! pada 7 September lalu melaporkan suspek direman selama tujuh hari sehingga esok berhubung kes kematian Muhammad Al Fateh di sebuah taska di Taman Kelemak Utama minggu lalu.

Suspek yang juga ibu tiga anak itu ditahan sepasukan anggota D11 kira-kira pukul 3.30 petang hari sama kejadian di taska berkenaan.

Wanita itu dipercayai membedung, menyumbat botol susu dan menekup mangsa dengan menggunakan bantal sehingga menyebabkan Muhammad Al Fateh meninggal dunia akibat lemas.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button