Sanggup ugut bunuh keluarga angkat demi wang
Oleh – Syeikh Baran
Ditatang bagai minyak yang penuh seperti anak sendiri, namun seorang lelaki tergamak mengugut mahu membunuh ahli keluarga angkatnya demi mendapatkan wang.
Tindakan lelaki dikenali Yeo, 29, yang ‘dibela’ sejak lebih lapan tahun itu mengakibatkan ibu angkatnya terpaksa menyerahkan wang simpanan, wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan menjual kereta.
Lebih buruk lagi wanita malang berusia 60 tahun itu turut membuat pinjaman dengan lima along membabitkan jumlah keseluruhan kira-kira RM245,000.
Menurut anak kandung wanita itu yang mahu dikenali Ng, 38, berkata semuanya bermula selepas kematian adik bongsunya pada tahun 1997.
Ng berkata, ibu mengambil Yeo yang juga rakan baik mendiang sebagai anak angkat kerana lelaki itu sering datang ke rumah dan bertanya khabar walaupun selepas kematian adik.
“Saya tidak pernah masuk campur hubungan mak dan anak angkatnya itu kerana kami tidak tinggal bersama sehinggalah suatu hari saya lihat kereta mak tiada. Pelbagai alasan diberi untuk menyembunyikan perkara sebenar sebelum akhirnya dia mengakui sudah menjualnya untuk membeli lima telefon bimbit jenis iPhone kepada Yeo.
“Lebih mengejutkan, saya diberitahu semua wang simpanan termasuk KWSP berjumlah lebih RM100,000 turut diberikan kepada Yeo.
“Malah mak juga membuat pinjaman dengan lima along berjumlah RM245,000 sejak beberapa tahun lalu kerana Yeo mengugut mahu membunuh kami jika tidak ikut kemahuannya,” katanya dalam sidang media di Wisma MCA di sini, hari ini.
Berikutan itu, Ng berkata, dia bersama ibu membuat laporan di Balai Polis Cheras kelmarin, kerana bimbang keselamatan mereka.
Seorang lagi pengadu mahu dikenali Lee, 53, berkata keluarganya kini hidup dalam ketakutan angkara adik lelakinya yang menggunakan nama mereka untuk membuat pinjaman along.
Perunding itu berkata, dia mengetahui perbuatan adik bongsu daripada tiga beradik itu selepas menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang menuntut hutang pinjaman berjumlah RM30,000.
“Pada Sabtu lalu, dua lelaki dipercayai along datang ke rumah dan menjerit-jerit meminta jelaskan hutang pinjaman sedangkan saya tidak pernah buat pinjaman dengan mana-mana along.
“Saya yakin ia perbuatan adik saya yang menggunakan nama dan alamat rumah saya. Saya segera ke balai polis membuat laporan kerana bimbang keselamatan keluarga saya,” katanya.
Katanya, dia turut hadir membuat aduan di MCA bagi meminta bantuan supaya tidak diganggu along.
Lee mendakwa dimaklumkan adiknya membuat pinjaman dengan enam along berbeza berjumlah RM39,000.
Sementara itu, Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, sebanyak 237 kes pinjaman along membabitkan pinjaman berjumlah RM21.6 juta diterima pihaknya tahun ini.
Sumber – HARIAN METRO