Tukang kebun buat laporan palsu dakwa disamun

Oleh – Syeikh Baran


Tukang kebun buat laporan palsu dakwa disamun

Polis Bentong mengesan satu laporan palsu yang dibuat seorang tukang kebun yang mendakwanya dirinya disamun tiga lelaki di Genting Highlands di sini pada Rabu.



Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, lelaki warganegara tempatan berusia 26 tahun itu membuat laporan kira-kira jam 11 malam.

Menurutnya, suspek itu membuat laporan palsu tersebut dan mendakwa disamun kerana ingin berjudi di pusat peranginan terbabit.

“Lelaki itu mendakwa disamun tiga lelaki tidak dikenali menggunakan sebilah pisau di Genting Highlands dan mengalami kerugian RM20,400.

“Pihak polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Bentong telah menjalankan siasatan dan merakam percakapan mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.



Ujar beliau, hasil siasatan dan pemeriksaan CCTV (rakaman litar tertutup) di tempat kejadian mendapati suspek itu sebenarnya telah berjumpa dengan seorang lelaki.

Jelasnya, suspek telah menjual sebentuk cincin emas, sebuah telefon bimbit serta seutas rantai leher untuk berjudi.

“Susulan dari kejadian tersebut, polis telah membuat laporan ke atas lelaki berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana telah membuat laporan polis palsu.

“Kita ingin memberikan amaran supaya tidak membuat laporan polis palsu dan tindakan undang-undang akan diambil kepada yang terlibat,” tambah Zaiham.



Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button