Guru sekolah rendah didakwa amang seksual pelajar 13 tahun

Oleh – Syeikh Baran


Guru sekolah rendah didakwa amang seksual pelajar 13 tahun

Seorang guru sekolah rendah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki berusia 13 tahun, lima bulan lalu.



Wen Beng Heng, 54, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa sebagai seorang yang mempunyai hubungan amanah iaitu guru, telah melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa berusia 13 tahun bagi tujuan seksual di sebuah rumah di Jinjang Utara di sini pada jam 10.30 malam, pertengahan April lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Seksual Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta sebagai tambahan hukuman bagi Seksyen 16(1) itu, boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan boleh juga dihukum sebatan tidak kurang dua sebatan, jika sabit kesalahan.



Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Shakira Aliana Alias tidak mencadangkan jaminan terhadap tertuduh kerana kesalahan ini termasuk dalam kes tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun beliau berkata, jika mahkamah ingin memberikan jaminan terhadap tertuduh, pendakwaan memohon kadar itu ditetapkan sebanyak RM50,000 berserta syarat tambahan, melaporkan diri sebulan sekali di balai polis, pasportnya diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu mangsa, keluarga mangsa dan saksi-saksi pendakwaan.

“Dalam kes ini, tertuduh adalah bekas guru mangsa semasa di sekolah rendah,” katanya.

Bagaimanapun, peguam S Muraliraj yang mewakili tertuduh, merayu mahkamah memberikan ikat jamin kerana anak guamnya perlu menanggung keluarga selain memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan pihak polis.



Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Azrul membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis Jinjang dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 21 November depan untuk sebutan kes.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang setiausaha Badan Pengurusan Bersama (JMB) di sebuah kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR), mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun lima bulan, bagi tujuan seksual.

Abdul Halim Mohamed Nasir, 60, didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat JBM di PPR, Wangsa Maju di sini pada 10.35 malam, 9 September lalu.



Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan dan dilarang mengganggu mangsa dan keluarga mangsa serta menetapkan 21 November untuk sebutan kes itu.

Sumber – SINAR HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button