Mashitah saman NGO fitnah dirinya, suami terbabit kes pemerdagangan manusia

Oleh – Syeikh Baran


Mashitah saman NGO fitnah dirinya, suami terbabit kes pemerdagangan manusia

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim mengemukakan saman fitnah terhadap sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan dua yang lain berhubung dakwaan mengaitkan beliau dengan aktiviti pemerdagangan manusia di Myanmar.



Bekas Ahli Parlimen Baling itu yang bertindak selaku plaintif menamakan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO); Pengerusinya merangkap Setiausaha Agung, Datuk Hishamuddin Hashim; dan Ahli Jawatankuasa, Azirul Syafiq Sazali sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Beliau yang memfailkan saman itu menerusi Tetuan Akberdin & Co di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin lalu, menuntut defendan memohon maaf, membayar ganti rugi antaranya ganti rugi am, teruk dan teladan serta memohon injunksi supaya mereka memadamkan kenyataan dan klip video didakwa memfitnahnya dalam masa tujuh hari.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mashitah berkata, pada 28 Ogos lalu, MHO memuat naik, menyiarkan, menerbitkan dan menyebarkan satu klip video kenyataan media oleh ketiga-tiga defendan yang mengandungi pernyataan fitnah terhadapnya.

Beliau berkata, klip kenyataan media itu berserta kapsyen ‘Sidang Media Berkaitan Aduan Penglibatan Ahli Politik Malaysia Di Dalam Sindiket Pemerdagangan Manusia Berpusat Di Myanmar’ melalui satu posting Facebook milik MHO di bawah akaun dikenali sebagai ‘Hishamuddin Hashim’.



Plaintif berkata, pada tarikh sama, Azirul Syafiq juga memuat naik, menyiarkan, menerbitkan dan menyebarkan klip video sama melalui satu posting Facebook miliknya.

Beliau berkata, pada keesokannya Hishamuddin memuat naik, menyiarkan, menerbitkan dan menyebarkan suntingan klip video bertarikh itu dengan kapsyen ‘sidang media berkenaan penglibatan bekas Timbalan Menteri dengan syarikat Dongmei Group yang merupakan antara sindiket pemerdagangan manusia & scam paling besar di Myawaddy Myanmar’.

“Melalui klip video itu, MHO dan Hishamuddin menunjukkan beberapa keping gambar saya yang dikaburkan ketika kenyataan media oleh ketiga-tiga defendan,” katanya.

Pada 7 September lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tiada bukti mengaitkan Mashitah dan suami terbabit kegiatan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar, selepas pemeriksaan polis mendapati tiada pelaburan dibuat beberapa individu termasuk Mashitah di luar negara yang didakwa mempunyai kaitan dengan sindiket itu.



Mashitah berkata, MHO dan Azirul Syafiq juga memuat naik kenyataan media bertulis oleh defendan ketiga itu yang disediakan dan dikeluarkan MHO berkaitan klip video berkenaan.

Sementara itu, pada 3 September pula, Mashitah berkata, MHO dan Azirul Syafiq memuat naik, menerbitkan dan menyebarkan satu posting Facebook yang memfitnahnya.

“Pernyataan fitnah itu kononnya saya dan suami, Datuk Abdul Shakor Abu Bakar terbabit secara langsung dengan sebuah syarikat Dongmei Group, yang mana syarikat terbabit dengan aktivit jenayah yang tidak terhad kepada jenayah pemerdagangan manusia, perjudian dan dadah di Myanmar, serta peringkat antarabangsa.

“Kononnya saya dan suami terbabit secara aktif dengan menjadi dalang kepada sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar, membabitkan rakyat Malaysia, selain kononnya saya dan suami mempunyai hubungan perniagaan serta persahabatan dengan individu bernama Wan Kuok Koi atau dikenali sebagai Brokentooth, yang didakwa seorang mafia dan pengasas serta ahli sindiket kepada satu kumpulan mafia yang didakwa dikenali sebagai ’14K’.



“Saya dan suami juga kononnya ada hubungan dengan syarikat itu dan Kuok Koi, jadi saya juga dikatakan terbabit dalam jenayah pemerdagangan manusia termasuk pemerdagangan rakyat Malaysia,” katanya.

Mashitah berkata, pernyataan fitnah itu juga kononnya beliau melakukan jenayah kemanusiaan terhadap individu yang lemah dan tidak berdosa tanpa sebarang belas ehsan dan perikemanusiaan.

Beliau berkata, beliau dan suami melalui syarikat itu juga kononnya terbabit dengan aktiviti jenayah keganasan serta rentas sempadan.

Katanya, beliau dan suami juga kononnya menjalankan usaha sama perniagaan secara haram dengan syarikat berkenaan, selain dikatakan ada hubungan dengan junta tentera Myanmar atau pengawal sempadan Myanmar, yang menjaga kawasan pemerdagangan manusia.



Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button