SPRM tahan 37 penguat kuasa terbabit sindiket ‘counter setting’

Oleh – Syeikh Baran


SPRM tahan 37 penguat kuasa terbabit sindiket 'counter setting'

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 37 pegawai agensi penguat kuasa kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket yang membawa masuk warga asing menerusi pintu masuk negara menerusi modus operandi ‘counter setting’.



Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata semua suspek ditahan menerusi Op Pump 2.0 yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor semalam.
 

Katanya, mereka yang ditahan membabitkan 27 lelaki dan 10 wanita berusia lingkungan 20 hingga 40-an dan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

“Menerusi operasi ini, SPRM menemui wang tunai keseluruhannya berjumlah lebih RM1 juta iaitu lebih RM500,000 daripada seorang suspek di Pahang, lebih RM200,000 daripada suspek di Selangor, lebih RM170,000 daripada suspek di Johor serta lebih RM100,000 daripada suspek di Negeri Sembilan.

“Wang tunai ini dipercayai diperoleh hasil daripada rasuah yang diterima daripada sindiket yang membawa masuk warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 dan Terminal 2,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azam berkata, SPRM turut menyita barangan kemas termasuk jongkong emas dan dinar emas, pelbagai jam tangan berjenama, kereta, motorsikal serta telefon bimbit pelbagai jenama.



Sementara itu, Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan sembilan pegawai penguat kuasa membabitkan lima lelaki dan empat wanita direman selama lima hari sehingga 17 September ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Di Selangor, Majistret Nur Syuhada Abdullah membenarkan lapan pegawai penguat kuasa lelaki dan tiga pegawai penguat kuasa wanita direman selama lima hari sehingga 17 September ini selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Di Negeri Sembilan pula, seramai tujuh pegawai penguat kuasa lelaki direman selama tujuh hari sehingga 19 September ini selepas permohononan dibuat SPRM di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali di Mahkamah Majistret Seremban.

Di Melaka, tiga pegawai penguat kuasa lelaki dan seorang pegawai penguat kuasa wanita direman turut selama lima hari sehingga 17 September ini selepas permohonan dibenarkan oleh Majistret Nabila Nizam di Mahkamah Majistret Ayer Keroh.



Selain itu, di Kuala Lumpur, Majistret Haneefa Ariffin membenarkan tiga penguat kuasa lelaki direman selama enam hari sehingga 18 September ini.

Tiga lagi pegawai penguat kuasa membabitkan dua wanita dan seorang lelaki dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan mereka selesai dirakamkan.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button