[VIDEO] Nor Afifah longlai, teresak-esak dipeluk suami, bapa

Oleh – Syeikh Baran


[VIDEO] Nor Afifah longlai, teresak-esak dipeluk suami, bapa

Pengasuh Muhamad Al Fateh Amri Mohd. Fikry Amri dilihat menangis teresak-esak di dalam kamar Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas dipeluk suami dan bapanya sebelum diiringi keluar oleh anggota polis.



Nor Afifah Abdullah Shuhaimi, 34, hari ini didakwa atas pertuduhan membunuh Muhammad Al Fateh yang berusia lapan bulan di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Kelemak Utama, Jumaat minggu lalu.

Dia bagaimanapun hanya mengangguk faham dan mengesat air matanya sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dihadapan Majistret Dr. Teoh Shu Yee.

Tertuduh yang juga merupakan ibu tiga anak sempat dipeluk dan diusap di bahagian belakang badan oleh suaminya kira-kira lima minit bagi menenangkannya.

Anak-anak tertuduh yang berusia dua, enam dan lapan tahun bagaimanapun tidak dibawa bersama-sama oleh ahli keluarga.



Nor Afifah kemudian dipeluk erat oleh bapanya, menyebabkan semua ahli keluarga tidak dapat menahan sebak termasuk orang awam yang berada di dalam kamar mahkamah.

Pemerhatian Kosmo! di lokasi juga sempat melihat tertuduh beberapa kali dalam keadaan longlai dan dibantu oleh ahli keluarga untuk berdiri semula bagi membolehkan dia diiringi keluar oleh anggota polis.

Terdahulu, mengikut pertuduhan, Nor Afifah didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian bayi lelaki Muhamad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri, lapan bulan di sebuah taska di Taman Kelemak Utama antara pukul 7.30 hingga 8.30 pagi 6 pada September lalu.

Bagi perbuatan itu dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.



Terdahulu pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Ahmad Sazali Omar, manakala tertuduh diwakili peguam Hermes Media Putra Ibrahim.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 13 November bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan laporan kimia.

Sumber – KOSMO! ONLINE

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button