Isu GISBH: Polis mungkin siasat pengakuan Nasiruddin berhubung kes liwat

Oleh – Syeikh Baran


Isu GISBH: Polis mungkin siasat pengakuan Nasiruddin berhubung kes liwat

Polis tidak menolak kemungkinan akan menjalankan siasatan mengenai pengakuan pihak pengurusan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) bahawa ada beberapa kes liwat pernah berlaku membabitkan individu dalam organisasi itu.



Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata perkara itu akan dipertimbangkan selepas semua siasatan kes sedia ada berkaitan GISBH selesai dijalankan kelak.

 

“Kita akan selesaikan siasatan yang ini dulu, apabila dah selesai baru kita akan fikirkan (jalankan siasatan),” katanya ketika dihubungi media hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada polis akan memanggil Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali selepas beliau mengakui mengenai kes liwat berkenaan.

Semalam, Nasiruddin mengakui beberapa kes liwat pernah berlaku membabitkan individu dalam organisasi terbabit.



Perkara itu didedahkan beliau menerusi rakaman video yang dimuat naik di akaun media sosialnya.

Nasiruddin dilaporkan berkata, perkara berkenaan pernah dibincang selain mengakui GISBH memang mempunyai kesalahan dari segi perundangan.

Bagaimanapun, jelas Nasirudin, kejadian itu cuma satu atau dua kes sahaja.

Menurutnya lagi, dakwaan berhubung isu terbabit disifatkan sebagai tidak berasas kerana tidak mempunyai bukti.



“Saya bukan hendak salahkan undang-undang, memang kami ada salah tetapi untuk isu seperti ini, cuba bincangkan dulu. Ini terus tangkap lebih 400 kanak-kanak dan mereka tidak tahu cerita.

“Memang liwat itu ada satu atau dua, tetapi kenapa dirangkumkan semua?. Hasil daripada itu juga kata memperdagangkan manusia, eksploitasi kanak-kanak, ini berlaku terlalu pantas langsung tidak ada perundingan,” katanya.

Rabu lalu, Razarudin memaklumkan 402 kanak-kanak berjaya diselamatkan hasil serbuan ke atas 20 rumah amal dikaitkan GISBH di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Dalam sidang media kelmarin, beliau berkata 13 daripada kanak-kanak itu disyaki diliwat berdasarkan saringan perubatan yang dilakukan.



Menerusi sidang media sama, Razarudin berkata, Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman akan menjalankan siasatan berkaitan dana yang disumbangkan kepada rumah amal berkenaan.

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button