Pelanggan mula menjauhi premis perniagaan GISBH
Oleh – Syeikh Baran
Beberapa premis perniagaan yang bernaung di bawah Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) di Perlis mulai terkesan dengan isu yang melanda syarikat itu.
Tinjauan di Lorong Siakap 1, Kuala Perlis mendapati, premis seperti Bakeri Ikhwan, Dobi Ikhwan dan Kafe Ikhwan masih meneruskan operasi, namun pengusaha mengakui orang ramai sudah mulai menjauhi premis.
Tinjauan sama juga mendapati sebuah lagi premis, Ikhwan Mart ditutup dan tidak dapat dipastikan sama ada ia ditutup disebabkan terjejas oleh isu berkenaan atau sememangnya operasinya ditutup pada Jumaat.
Menurut operator Kafe Ikhwan yang tidak mahu dikenali, sejak isu berkenaan menjadi isu besar, perniagaan mereka sudah mulai lesu.
“Ya, sudah ramai pelanggan tetap kita tidak lagi datang ke kedai kami walaupun kami masih meneruskan perniagaan.
“Saya akui ia agak terkesan oleh isu yang sedang melanda pada waktu ini,” katanya ringkas ketika ditemui di premis mereka hari ini.
Sementara itu, Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin dalam kuliahnya di Masjid Alwi, Kangar semalam berkata, isu membabitkan GISBH sudah dibentangkan kepada pelbagai pihak termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak penguat kuasa, namun tiada tindakan yang diambil.
“Isu GISBH mula dibangkitkan apabila terdapat kumpulan yang membuat kajian mengenai kes ini bertemu beberapa pihak bertanggungjawab tapi tidak ada satu pun yang mengambil tindakan.
“Malah, isu itu tidak diangkat mungkin disebabkan beberapa perkara termasuk sebahagian pihak enggan mengambil risiko selain mungkin ada individu yang tidak mempunyai jiwa besar untuk selesaikan isu,” katanya menerusi hantaran video dalam siri kuliah mingguan semalam.
Sumber – BERITA HARIAN