Pembantu kedai didakwa noda remaja tingkatan 3

Oleh – Syeikh Baran


Pembantu kedai didakwa noda remaja tingkatan 3

Seorang pembantu kedai didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja berusia 15 tahun, di Pasir Puteh kira-kira dua bulan lalu.



Tertuduh, Muhammad Faiz Firdaus Badrolhisham, 18, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol mangsa berusia 15 tahun di sebuah rumah kira-kira pukul 11 malam hingga 1 pagi di Selising, Pasir Puteh, dekat sini pada 3 Julai lalu.

Muhammad Faiz Firdaus didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Zulfaqar Al-Basysyar Saharrudin.



Terdahulu, Kamarul Hasyime mencadangkan ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan syarat memandangkan kes berkenaan serius selain melibatkan remaja bawah umur.

Muhammad Zulfaqar Al-Basysyar memohon jaminan paling minimum kerana anak guamnya hanya bekerja sebagai pembantu kedai dengan pendapatan RM40 sehari.

“Tertuduh merupakan anak sulung daripada dua beradik dan perlu menanggung keluarga memandangkan ibunya tidak dapat bekerja kerana menjaga adik yang menghidap kanser tulang,” ujarnya.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan.



Tertuduh membayar jaminan berkenaan dan mahkamah kemudian menetapkan 14 Oktober untuk sebutan semula kes.

Sumber  – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button