Polis rampas 5.2 kg syabu dalam bekas tin biskut

Oleh – Syeikh Baran


Polis rampas 5.2 kg syabu dalam bekas tin biskut

Polis merampas syabu dan heroin seberat lebih 7.5 kilogram (kg) bernilai RM370,000 dalam serbuan ke atas dua rumah, di sini, Khamis lalu.



Dalam serbuan itu, dua lelaki warga tempatan berusia 40 dan 46 tahun yang dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah turut ditahan bagi siasatan lanjut.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata, pihaknya menyerbu sebuah rumah kira-kira 5.30 petang sebelum menemui tujuh peket lutsinar mengandungi dadah jenis syabu seberat lebih 5.2 kg dianggarkan RM170,000 yang diletakkan dalam bekas tin biskut.

“Berikutan penemuan dadah berkenaan, dua lelaki ditahan sebelum soal siasat membawa kepada satu lagi serbuan kira-kira 8.30 malam hari sama.

“Dengan dipandu arah oleh suspek, polis pergi ke sebuah rumah di kawasan sama dan menemui enam bungkusan plastik lutsinar setiap satu dibaluti kertas berwarna coklat dipercayai dadah jenis heroin seberat hampir 2.3kg dianggarkan bernilai RM200,000 di ruang tamu,” katanya dalam kenyataan dimuat naik menerusi Facebook (FB) PDRM Pulau Pinang, di sini, hari ini.



Hamzah berkata, hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket itu bergiat aktif sejak awal bulan Mac lalu.

“Saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan mereka juga mempunyai rekod lampau dalam kes jenayah dan dadah.

“Kedua-dua suspek direman tujuh hari hingga 19 September ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Katanya, dalam operasi sama, polis juga menyita sebuah kenderaan, barangan kemas dan wang tunai dengan jumlah sitaan berjumlah RM59,920.



Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button