PRK DUN Mahkota: SPR keluar 607 kertas undi pos

Oleh – Syeikh Baran


PRK DUN Mahkota: SPR keluar 607 kertas undi pos

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengeluarkan 607 kertas undi pos kepada mereka yang berhak mengundi secara pos bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.



Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, 591 undi pos dikeluarkan bagi Kategori 1A melibatkan petugas pilihan raya, anggota polis dan anggota tentera; empat undi pos bagi Kategori 1B melibatkan warganegara Malaysia yang menetap di luar negara; dua undi pos bagi Kategori 1C iaitu agensi dan organisasi serta 10 undi pos bagi Kategori Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

“Pengeluaran kertas undi pos dilakukan oleh petugas pilihan raya yang dilantik Pegawai Pengurus dengan kehadiran ejen undi pos daripada calon-calon yang bertanding,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau turut mengingatkan semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Perisytiharan Identiti (Borang 2) serta mengembalikannya dengan segera kepada Pegawai Pengurus sebelum 5 petang hari mengundi iaitu 28 Sept ini.

Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi mereka dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya menerusi laman media sosial.



PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

Selain hari mengundi pada 28 September, SPR juga menetapkan 24 September sebagai hari undi awal. – Bernama

Sumber – SINAR HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button