Himpunan RXZ Members : 3 maut, 6 cedera dalam kemalangan
Oleh – Syeikh Baran
Tiga maut manakala enam lagi cedera dalam kemalangan membabitkan peserta Himpunan RXZ Members 6.0 di Terengganu.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, ia membabitkan masing-masing satu kes di Marang, Kemaman dan Hulu Terengganu, yang kesemuanya dalam perjalanan pulang selepas menghadiri himpunan berkenaan.
Beliau berkata, kemalangan pertama berlaku di Kilometer (KM) 24, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Marang, pada Sabtu membabitkan seorang penunggang motosikal berusia 58 tahun dari Perak.
“Nahas kedua pula berlaku di KM 270.1, Lebuhraya Pantai Timur (LPT2) Kemaman, semalam mengorbankan seorang lelaki, Mohamad Firdaus Abdul Rashid berusia 29 tahun dari Negeri Sembilan.
“Siasatan mendapati kemalangan membabitkan dua motosikal yang bergesel dan terbabas kerana mengelak patung penyu yang terjatuh di atas jalan,” katanya.
Mohd Khairi berkata, mangsa yang bekerja sendiri maut di tempat kejadian, dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah head injury due to road traffic crash.
Beliau berkata, seorang lagi penunggang motosikal Muhamad Shafiq Abdul Halim, 29, yang bekerja sebagai pengimpal patah bahu dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang.
Katanya, kemalangan ketiga berlaku di Hulu Terengganu, semalam membabitkan seorang penunggang motosikal berusia 29 tahun dari Pahang.
“Mangsa, Ahmad Amir Muhamad maut di tempat kejadian selepas motosikalnya bergesel dengan sebuah motosikal yang berhenti di lorong kecemasan menyebabkannya terjatuh di atas jalan dan diseret lori,” katanya.
Mohd Khairi berkata, pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 89 saman membabitkan pelbagai kesalahan dalam operasi yang dilakukan di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak dan sekitar daerah Kuala Terengganu sepanjang dua hari bermula Jumaat lalu.
Katanya, pihaknya turut menyita 15 motosikal dalam operasi sama.
“Antara kesalahan paling tinggi direkodkan adalah ubah suai ekzos (24 kes), tiada cermin sisi (15 kes) dan aksesori tidak sempurna (10 kes).
“Kesemua kesalahan itu dikesan hasil pemeriksaan ke atas 89 buah motosikal dan 110 individu.
“Semua penugasan dan operasi berjalan dengan baik dan lancar serta tiada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.
Himpunan RXZ Members 6.0 yang berlangsung selama dua hari bermula 13 September lalu menarik kira-kira 60,000 peserta dari seluruh negara.
Program berkenaan dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Sumber – HARIAN METRO