Ahli Parlimen PN tolak draf MoU dengan Kerajaan Persekutuan

Oleh – Syeikh Baran


Ahli Parlimen PN tolak draf MoU dengan Kerajaan Persekutuan

Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) telah mengambil ketetapan untuk menolak draf memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dan PN setelah meneliti keseluruhan kandungan draf MOU tersebut secara terperinci.



Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, MoU itu mempunyai niat tersirat untuk mengekang kebebasan Ahli-Ahli Parlimen untuk menyuarakan hasrat pengundi yang memilih mereka ke Dewan Rakyat.

“Tidak pernah dalam sejarah negara Malaysia sejak merdeka, pihak kerajaan menetapkan perkara-perkara yang boleh dituturkan dan tidak boleh dituturkan oleh Ahli-Ahli Parlimen di luar ketetapan yang terkandung di dalam Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Perlembagaan Persekutuan.

“Misalnya, MoU ini mengandungi satu bab khusus mengenai isu bangsa, agama dan Raja-Raja di mana Ahli-Ahli Parlimen PN dilarang untuk bersuara mengenainya. Menyentuh isu-isu ini dianggap sebagai menyebarkan kebencian,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Jelas beliau, perkara itu tidak betul kerana negara dibina atas persefahaman antara kaum atau Kontrak Sosial yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan yang mempunyai peruntukan-peruntukan khusus mengenai hak-hak kaum, agama Islam dan Raja-Raja Melayu.



Katanya lagi, kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak serta hak-hak yang sah untuk kaum-kaum lain (Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan) dan Islam sebagai Agama Persekutuan (Perkara 3).

“Begitu juga Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan (Perkara 152), Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan pewujudan Majlis Raja-Raja (Perkara 32 dan 38) dan kebebasan setiap individu untuk mengamalkan agama masing-masing secara aman dan harmoni (Perkara 11) adalah perkara-perkara asas pembentukan Malaysia yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Apa hak Kerajaan PH-BN untuk menghalang Ahli-Ahli Parlimen PN daripada memperjuangkan perkara-perkara yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan menerusi suara mereka di Dewan Rakyat? Adakah Kerajaan PH-BN ingin memadam sejarah pembentukan negara Malaysia yang merdeka,” soalnya.

Muhyiddin berkata, MoU itu juga membawa masuk elemen-elemen yang bertentangan dengan nilai hidup masyarakat Asia yang kuat berpegang dengan nilai moral dan agama.



“Misalnya, MOU ini menghalang Ahli-Ahli Parlimen PN membuat kenyataan “yang mendiskriminasi mana-mana pihak sama ada atas dasar agama, kaum…atau apa-apa faktor identiti yang lain”.

“Identiti yang lain ini termasuklah kumpulan LGBT. Adakah ini bermakna sekiranya Ahli-Ahli Parlimen PN bersetuju dengan draf MOU ini, maka mereka tidak boleh menentang sebarang dasar atau undang-undang yang mungkin akan digubal oleh Kerajaan PH-BN untuk membenarkan perlakuan LGBT pada masa hadapan?,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan Mou itu tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan nilai murni yang menjadi pegangan rakyat Malaysia.
“Ia mesti ditolak bukan sahaja oleh PN malah oleh seluruh rakyat Malaysia yang cintakan negara dan memahami maksud sebenar perpaduan dan keharmonian dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama.

“Bagi saya, peruntukan kepada Ahli-Ahli Parlimen pembangkang tidak perlu dibuat menerusi apa-apa perjanjian atau MOU. Ini adalah janji Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto PRU-15 dan Perdana Menteri sekarang adalah daripada parti PH.



“Rasulullah S.A.W bersabda, “Barang siapa tidak menepati janji seorang Muslim, nescaya ia mendapat laknat Allah, malaikat, dan seluruh manusia. Tidak diterima darinya taubat dan tebusan.” (Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim),” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button