Bayi 30 hari maut di pusat jagaan berpantang: Jururawat didakwa
Oleh – Syeikh Baran
Seorang jururawat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mendedahkan bayi berusia 30 hari yang mungkin menyebabkan kecederaan di sebuah pusat jagaan berpantang, di sini, 9 September lalu.
Tertuduh, Nur Ain Natasha Mohd Sabri, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang bayi lelaki, Choo Jyn Hern berusia 30 hari mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan.
Kesalahan itu dilakukan di pusat jagaan berpantang di Jalan Sultan Yahya Petra di sini antara jam 4.47 pagi hingga 5.30 pagi pada 9 September lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen 31 (1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan dan tertuduh diwakili peguam, Nur Alini Ahamad Kamil.
Terdahulu, Siti Edabayu memohon jaminan tidak ditawarkan, manakala Nur Alini memohon jaminan minimum dikenakan memandangkan tertuduh baru berusia 22 tahun dan bekerja di pusat berkenaan dengan pendapatan purata RM2,200 sebulan selain memaklumkan anak guamnya akan memberikan kerjasama penuh kepada mahkamah.
Mahkamah kemudiannya menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan, bayi lelaki berusia sebulan meninggal dunia di sebuah pusat jagaan berpantang, di sini.
Bayi berusia 30 hari itu dikatakan tidak sedarkan diri jam 5.30 pagi selepas diberikan susu oleh seorang jururawat yang ditugaskan menjaga bayi berkenaan.
Sumber – HARIAN METRO