Bunuh: Dua buruh kasar terlepas hukuman mati, diganti jel 30 tahun
Oleh – Syeikh Baran
Dua buruh kasar terlepas tali gantung apabila Mahkamah Persekutuan pada Selasa menggantikan hukuman mati terhadap mereka dengan penjara 30 tahun dan 12 sebatan kerana membunuh seorang pekerja ladang di kebun kelapa sawit, tujuh tahun lepas.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan A.Rames, 47, dan Tew Siew Kem, 46, untuk mengetepikan sabitan terhadap mereka dan menggantikan hukuman mati dengan penjara.
“Rayuan terhadap sabitan tidak mempunyai merit dan sabitan terhadap kedua-dua perayu dikekalkan. Kami membenarkan rayuan terhadap hukuman mati dan menggantikan ia dengan penjara 30 tahun serta 12 sebatan,” kata Harmindar yang bersidang bersama-sama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Vazeer Alam Mydin.
Beliau memerintahkan Rames menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 15 Mei 2017 manakala Tew bermula 8 November 2018.
Dalam penghakimannya, Harmindar berkata, tidak berlaku salah laksana keadilan kerana Tew dan peguamnya diberi peluang melihat transkrip serta rakaman mahkamah selain memanggil semula mana-mana saksi pendakwaan.
“Dua saksi telah dipanggil semula dan disoal balas oleh peguam. Oleh itu, kami mendapati tiada merit atas alasan ini,” katanya.
Harmindar berkata tiada merit dalam hujahan pihak perayu bahawa hakim bicara gagal menghargai ketidakselarasan dan percanggahan antara keterangan dua saksi pendakwaan.
“Hakim bicara telah mempertimbang ketidakkonsistenan dan membuat kesimpulan yang tepat bahawa kedua-dua saksi boleh dipercayai meskipun terdapat ketidakkonsistenan. Dalam keadaan ini, kami mendapati sabitan adalah selamat,” katanya.
Rames didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas membunuh A.Arumugam di kebun kelapa sawit di Jalan Rawang, Bestari Jaya di Kuala Selangor antara 11.30 malam 3 April 2017 dan jam 7.15 pagi 4 April 2017.
Tew pula didakwa bersama Rames melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali.
Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datin Asmah Musa manakala Rames diwakili peguam M.Manoharan dan Tew oleh peguam V.Ayasamy serta Renuka Krishnasamy. – Bernama
Sumber – SINAR HARIAN