Dua kakitangan Paip didakwa kemuka tuntutan palsu

Oleh – Syeikh Baran


Dua kakitangan Paip didakwa kemuka tuntutan palsu

Dua kakitangan Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini atas dua pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bagi pembekalan makan minum dan peralatan berjumlah RM8,400.



Tertuduh, Mohd. Nizar Zainun, 42, dan Noorhasnida Alias, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie.

Menurut pertuduhan, Mohd. Nizar yang merupakan Ketua Seksyen Jaminan Kualiti Bahagian Eksekutif Kesihatan dan Keselamatan (HSE) dan Pengurusan Kualiti Paip dengan niat hendak memperdayakan prinsipalnya dengan menyediakan dokumen palsu pesanan tempatan bertarikh 21 Disember 2021 berkaitan pembekalan makan minum dan peralatan bagi program WSP berjumlah RM4,400 sedangkan program tersebut tidak dijalankan dan perkhidmatan tersebut tidak dibekalkan.

Mohd. Nizar juga didakwa mengemukakan dokumen palsu iaitu pesanan tempatan bertarikh 23 Februari 2022 mengandungi pernyataan palsu pembekalan makan minum dan peralatan bagi peserta kursus sijil Pertubuhan Piawaian Antarabangsa (ISO) berjumlah RM5,940 sedangkan tuntutan sebenar pembekalan tersebut berjumlah RM1,940 sahaja.

Mohd. Nizar didakwa melakukan kedua-dua kesalahan terbabit pada 30 Disember 2021 dan 28 Februari 2022 bertempat Pejabat Paip di sini.



Manakala berdasarkan kertas pertuduhan Noorhasnida pula didakwa bersubahat bersama Mohd. Nizar atas dua pertuduhan memalsukan dokumen terbabit di mana tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 21 Disember 2021 dan 2 Mac 2022 juga bertempat di pejabat Paip, di sini.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd Fadly Mohd Zamry yang memohon mahkamah mengenakan jaminan RM10,000 ke atas tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin warga tempatan beserta syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah sehingga perbicaraan selain perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat sebulan sekali.

Hakim kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh dikenakan wang jaminan RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan sebagaimana diminta pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 15 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button