GISBH: Polis mungkin siasat elemen jenayah terancang – KPN

Oleh – Syeikh Baran


GISBH: Polis mungkin siasat elemen jenayah terancang - KPN

Siasatan polis terhadap Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) berkait ekploitasi kanak-kanak mungkin akan mula menjurus kepada kegiatan jenayah terancang.



Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata bagaimanapun pada peringkat ini siasatan polis masih tertumpu bagi kertas siasatan fasa pertama dan kedua Op Global.

“Ya, siasatan kita (polis) juga menjurus ke arah itu,” katanya pada sidang media di PULAPOL Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai hala tuju siasatan polis berkait kes itu yang mungkin menjurus kepada jenayah terancang.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, siasatan pihaknya mendapati terdapat struktur organisasi yang jelas dalam pengoperasian rumah amal terbabit.



“Rumah amal itu dibahagikan kepada beberapa zon yang mana terdapat seorang pengurus yang bertanggungjawab menyelia beberapa rumah bagi setiap zon.

“Di bawah pengurus pula, di setiap rumah amal itu mempunyai penjaga yang mengendalikan kanak-kanak iaitu abang atau kakak yang berusia lebih 18 tahun.

“Berdasarkan temubual terhadap mangsa, kita dimaklumkan kanak-kanak ini berpindah-randah dari satu rumah amal ke rumah amal lain, mereka tidak tinggal satu tempat sahaja.

“Itu antara modus operandi yang dikesan dipercayai untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya.



Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini pihaknya masih belum mengambil keterangan pengurusan tertinggi GISBH bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, katanya, polis sudah mengeluarkan perintah larangan meninggalkan negara terhadap mereka sebaik kertas siasatan dibuka.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button