Jaga dibunuh, mayat disumbat dalam but kereta

Oleh – Syeikh Baran


Jaga dibunuh, mayat disumbat dalam but kereta

Seorang pengawal keselamatan sebuah sekolah disyaki dibunuh selepas mayatnya ditemui di dalam but sebuah kereta di tepi Jalan Pasir, Taman Pertama di sini semalam.



Mangsa lelaki tempatan berusia 43 tahun itu dijumpai polis dalam Proton Saga BLM yang diparkir di kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Robin Guha Thakurta berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat daripada anggota kereta peronda pukul 6.04 petang.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan kemudian menemui mangsa sudah tidak sedarkan diri dalam but kereta berkenaan.

“Siasatan awal mendapati lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Sabak Bernam itu cedera pada anggota badan.



“Pemeriksaan pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mengesahkan ada unsur jenayah menyebabkan kematian itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Robin, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh bagi proses bedah siasat.

“Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Kita juga sedang mengesan suspek terlibat dan pemilik kenderaan berkenaan,” ujarnya.



Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi talian 03-32242222 bagi tindakan lanjut.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button