KKM kesan satu kes positif Mpox babitkan lelaki tempatan

Oleh – Syeikh Baran


KKM kesan satu kes positif Mpox babitkan lelaki tempatan

Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan satu kes positif cacar monyet atau ‘monkeypox’ (Mpox) dalam varian Clade II (dua) dikesan semalam, menjadikan semua 10 kes bermula 26 Julai lalu hanya membabitkan Clade ll saja.



Virus Mpox Clade I dikategorikan sebagai mudah berjangkit dan mempunyai kadar kematian 10 peratus, manakala Clade II mempunyai kadar kematian yang lebih rendah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata pesakit Mpox ini membabitkan seorang lelaki tempatan yang mula menunjukkan gejala demam, sakit tekak dan batuk pada 11 September lalu, manakala ruam pula mula muncul sehari selepas itu.

“Pesakit tiada sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 21 hari sebelum gejala timbul, kini sedang dalam isolasi dan berada dalam keadaan stabil.

“Semua kontak bagi pesakit ini sedang dikenal pasti dan status kesihatan mereka akan dipantau mengikut tatacara kendali piawai (SOP) semasa yang ketat,” katanya.



Mpox diisytiharkan sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (PHEIC) untuk kali kedua pada 14 Ogos lalu susulan penularan virus Clade yang lebih pantas di Republik Demokratik Congo (DRC) dan negara jiran di rantau Afrika.

KKM sudah mengaktifkan Bilik Gerakan Mpox di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan semalam bagi memantau situasi mpox serta menyelaraskan langkah kesiapsiagaan dan respon yang berkenaan.

Dr Muhammad Radzi berkata, untuk meningkatkan kesediaan dan membolehkan orang ramai meningkatkan kawalan kesihatan kendiri, KKM akan meneruskan hebahan melalui pelbagai saluran media massa dan media sosial.

“Orang ramai juga boleh mengambil langkah termasuk individu berisiko tinggi yang bergejala Mpox seperti demam, bengkak kelenjar limfa dan ruam serta lepuh perlu segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat.



“Elakkan bersentuhan secara langsung dengan individu disyaki atau disahkan dijangkiti Mpox termasuk hubungan seksual dan amalkan kawalan kesihatan kendiri seperti mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman,” katanya.

Beliau turut menggesa pengamal perubatan terus peka terhadap individu bergejala ruam dan lepuh yang datang mendapatkan rawatan, terutama dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi.

“Bagi kes disyaki Mpox, swab lepuh, oral dan sampel darah serta serum perlu dihantar ke makmal yang menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan virus Mpox.

“Kes disyaki Mpox perlu dimaklumkan ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran melalui sistem e-Notifikasi supaya siasatan lanjut serta langkah pencegahan dan kawalan dapat dijalankan,” katanya.



Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button