Najib berkerusi roda ke mahkamah

Oleh – Syeikh Baran


Najib berkerusi roda ke mahkamah

Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bagi prosiding hujahan akhir kes penyelewengan dana milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan berkerusi roda.



Najib, 71, yang memakai kot berwarna coklat dilaporkan mempunyai masalah lutut kanan dengan diiringi kakitangan Jabatan Penjara ke kamar mahkamah.

Sebelum prosiding bermula, bekas Presiden UMNO itu berjalan menggunakan tongkat dengan perlahan ketika berada dalam mahkamah.

Hakim kemudiannya membenarkan permohonan pihak pembelaan supaya Najib duduk di luar kandang tertuduh bagi membolehkannya meregangkan kaki.

Minggu lalu, prosiding hujahan akhir kes pendakwaan bagi tuduhan penyelewengan dana 1MDB ditangguhkan selama dua hari selepas bekas Ahli Parlimen Pekan itu tidak cergas untuk hadir ke mahkamah.



Perunding kanan Jabatan Ortopedik dan Traumatologi Hospital Kuala Lumpur, Dr Siti Hawa Tahir memberitahu Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa, Najib telah dirujuk kepadanya pada Ahad 8 September lalu, selepas mengadu sakit akut di lutut.

Susulan itu katanya, Najib diberi sijil sakit selama dua hari dan rawatan semasa yang diberikan kepadanya ialah ‘analgesik’ yang kuat untuk kesakitannya.

Beliau berkata, buat masa ini ubat yang digunakan ialah ‘opioid’ dan pihak perubatan berusaha supaya Najib dapat berjalan dengan selesa tanpa komplikasi lain.

Bagaimanapun, beliau berkata, Najib mengadu mengantuk sejak memulakan preskripsi tersebut dan mungkin terdapat gejala lain.



Prosiding kini memasuki hari ketujuh di peringkat penghujahan lisan, tiada testimoni saksi dikemukakan

Pasukan pembelaan dan pendakwaan sedang menyediakan hujah terakhir bagi mengemukakan kesimpulan sama ada bukti lisan dan dokumentari akan mensabitkan atau membebaskan Najib daripada pertuduhan.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB di cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Beliau turut berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.



Najib didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, dan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button