Warga emas maut dihempap pokok ketika berkhemah
Oleh – Syeikh Baran
Seorang lelaki warga emas maut manakala cucunya cedera apabila dihempap pokok tumbang ketika berkhemah dalam kejadian hujan dan ribut di kawasan perkhemahan Pantai Balok, Beserah di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, Che Zakariah Che Ali, 68, beralamat di Felda Cerul 2, Kemaman, Terengganu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata, cucu mangsa, Nurul Amni Aisyah Mohamad Afiq, 7, cedera pada bahagian kepala sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan berada dalam keadaan stabil.
“Mangsa bersama 13 ahli keluarga menyertai aktiviti perkhemahan selama tiga hari dua malam di kawasan perkhemahan tersebut bermula semalam. Kira-kira 3.10 petang tadi, hujan dan angin kencang di kawasan perkhemahan dan mangsa ketika itu sedang duduk di atas kerusi di depan khemahnya.
“Tiba-tiba menantunya yang berada dalam khemah bersama isteri dan dua anaknya terdengar bunyi pokok tumbang dan semasa menyelamatkan diri terlihat mangsa telah dihempap pokok dan mereka cuba mengalihkannya,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Sultan Haji Ahmad Shah @ IIUM Kuantan untuk dibedah siasat.
Sumber – HARIAN METRO