‘Kami jadi hamba cari dana, orang atasan GISBH hidup mewah…’ – Bekas ahli

Oleh – Syeikh Baran


'Kami jadi hamba cari dana, orang atasan GISBH hidup mewah...' - Bekas ahli

Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) didakwa mengamalkan sistem perhambaan dalam menjalankan operasi kumpulan perniagaan dikatakan bermotif keagamaan itu.



Ia berikutan setiap ahli GISBH dipaksa mencari dana untuk memenuhkan tabung jemaah atau syarikat, walaupun perlu bekerja sepenuh masa tanpa dibayar gaji.
 

Mendedahkan perkara itu, individu dipercayai bekas ahli GISBH mendakwa, ada kalanya anggota organisasi itu terpaksa meminta bantuan ahli keluarga yang bukan dalam kalangan jemaah atau syarikat.

Menerusi entri di Facebook, lelaki yang hanya dikenali sebagai Raja Suhaimi mendakwa, keadaan itu berlaku apabila sangat sedikit perniagaan kendalian GISBH yang menjadi ekonomi komersial dan dapat menjana kewangan jemaah atau syarikat.

Dia berkata, ramai ahli GISBH dizalimi dalam sistem yang lebih kepada perhambaan dengan orang atasan menjalani kehidupan dengan rumah dan kereta mewah, manakala bawahan mahu berjumpa pasangan pun perlu tunggu giliran dan diaturkan.

“(Mereka) mewujudkan banyak rumah dan badan amal kebajikan yang juga antara kaedah mendapatkan ‘income’ (pendapatan) yang banyak daripada masyarakat awam.



“GISBH mengamalkan sistem ‘ma’ash’ (keperluan), menggantikan sistem pendapatan dengan pekerja perlu kerja sepanjang hari dan membuat pelbagai pekerjaan, kerja lebih masa atau dihantar ke luar negara, namun tidak diberikan gaji dalam bentuk wang.

“Mereka diberi makan, minum dan tempat tidur, selain perkahwinan diuruskan sesama ahli,” katanya.

Raja Suhaimi berkata, projek perniagaan adalah tugasan ahli setiap zon dan negeri dengan kebanyakannya dipanggil ekonomi strategi, bertujuan mempamerkan kehebatan jemaah pada pandangan masyarakat dan musuh perjuangan mereka.

“Malah, majlis khas bertujuan mengutip dana daripada ahli mengikut zon dan negeri setiap bulan, dengan jemaah yang bekerja di luar akan memberikan dana dalam jumlah lebih besar,” katanya.



Mengenai pemilihan kepemimpinan, Raja Suhaimi mendakwa pemimpin GISBH kononnya dilantik Rasulullah, Imam Mahadi dan guru mursyid dari alam ghaib dengan amalan itu dikatakan sebagai model sistem pentadbiran organisasi terbabit.

Katanya, kepemimpinan disusun mirip organisasi syarikat biasa, dipercayai bagi mengaburi pihak berkuasa, selain pemilihan pemimpin dibuat melalui tahap ketakwaan paling tinggi di zamannya.

Dia mendakwa, pemimpin terbabit dikatakan layak menjadi wasilah untuk doa dan tawassul iaitu perihal mengenai Allah dengan mengamalkan ibadat khusus mahupun umum, dalam kalangan ahli untuk menyebut nama individu terbabit.

“GISBH membuat sistem dalam sistem, iaitu mewujudkan sistem kehidupan sendiri, berlawanan dengan arus perdana diamalkan di negara ini. Segala arahan pemimpin, wajib ditaati (sami’na wa ato’na).



“Mereka sering mendakwa dapat berhubung dengan Rasulullah dalam bentuk yaqazah (dalam keadaan sedar). Ada arahan tertentu, kononnya dari Rasulullah dan Imam Mahadi, termasuk rombakan Kabinet bayangan daulah.

“Terdapat juga ramalan, dikatakan dari Rasulullah dan Imam Mahadi, yang kebanyakannya meleset dan tidak terjadi,” katanya.

Sementara itu, Raja Suhaimi berkata, amalan nikah syar’ie didakwa diamalkan jemaah, dikatakan lebih sah dan diberkati kerana wali yang menikahkan adalah mukmin sejati, bukannya orang luar yang fasik.

Dia mendakwa, ada segelintir jemaah mendaftarkan perkahwinan dengan jabatan agama, selepas beberapa bulan disahkan mengandung, menyebabkan anak mereka berbin atau berbintikan Abdullah.



“Terutama (pasangan) berpoligami. Berkahwin serta bercerai semuanya atas arahan pemimpin dan jemaah, bahkan pernah satu jemaah diarahkan bercerai beramai-ramai dalam satu majlis, kononnya proses didikan sang mujaddid.

“Isteri atau suami serta anak yang keluar (daripada komuniti GISBH) dan mengkritik kesalahan serta kemungkaran jemaah, akan dipisahkan daripada pasangan dan keluarga mereka. Ada yang dibawa lari ke luar negara,” katanya.

Mengulas lanjut, dia berkata, sistem pendidikan diamalkan GISBH dikatakan dibentuk mengikut kaedah jemaah dengan pembelajaran dalam kelas didakwa dilakukan dalam tempoh singkat, selain ada ketika dikatakan guru pun tidak hadir untuk mengajar.

Katanya, silibus pendidikan dikatakan ditetapkan secara sendiri dengan kebanyakan sesi pembelajaran dalam kelas hanya mengajar mengenai pemimpin, selain premis itu didakwa sebagai tempat menyemai sifat taksub dalam kalangan pelajar.



“Pelajaran fardu ain hanya yang asas, kadang-kadang ulang benda sama. Kata-kata dan tulisan pemimpin jadi keutamaan dalam sesi pembelajaran. Selebihnya, mereka akan disusun untuk ‘khibrah’ (pengalaman atau kemahiran), diserapkan ke projek syarikat.

“Sebab itu ada yang berusia 13 tahun, sudah bekerja di kilang atau premis. Ada yang kena khibrah keluar dari premis, seperti mengedar makanan, majalah dan sebagainya.

“Bahkan ada yang dihantar berkhibrah ke Sabah, Sarawak dari umur seawal 14 tahun. Kanak-kanak mereka diletakkan di asrama atau di rumah amal dan pertubuhan kebajikan kendalian mereka,” katanya.

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button