Peniaga kosmetik ditahan, tawar pelaburan ‘Jual Beli Due Kutu’

Oleh – Syeikh Baran


Peniaga kosmetik ditahan, tawar pelaburan 'Jual Beli Due Kutu'

Seorang peniaga kosmetik yang aktif menawarkan pelaburan ‘Jual Beli Due Kutu’ secara bersemuka dan atas talian ditahan di rumahnya di Kampung Pengkalan Nyireh, Kampung Raja, di sini malam tadi.



Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, wanita berusia 31 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Terengganu kira-kira jam 10 malam bagi membantu siasatan berhubung pelaburan tidak wujud.

Katanya, tangkapan itu dibuat susulan 17 laporan diterima daripada mangsa hingga mengalami kerugian sebanyak RM151,945.

“Suspek menggunakan modus operandi memperdayakan mangsa dengan memuat naik status WhatsApp, ‘Bayar RM500 Terima RM550 Untung RM50’ dan ‘Bayar RM1,000 Terima RM1,200 Untung RM200.’

“Suspek memperdayakan mangsa dengan mengatakan semakin banyak bayaran dibuat, semakin besar keuntungan yang diperoleh,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.



Abdul Rozak berkata, kesemua mangsa yang berminat dengan tawaran itu membuat bayaran ke dalam beberapa jenis akaun diberikan, selain ada menyerahkan wang tunai kepada suspek.

Katanya, mangsa yang berasa ditipu kerana tidak menerima bayaran balik keuntungan sebagaimana dijanjikan membuat laporan polis.

“Hasil siasatan lanjut, suspek mengaku menawarkan pelaburan yang dikenali ‘Jual Beli Due Kutu’ secara bersendirian yang diiklankan melalui WhatsApp miliknya bermula dari April 2023 sehingga 17 September 2024.

“Pada awalnya, suspek menawarkan pelaburan berbentuk ‘kutu’ tetapi diubah suai dengan nama ‘Due Kutu’ disebabkan mendapat sambutan yang tinggi.



“Kebanyakan mangsa yang terbabit dalam pelaburan ini adalah kenalan dan pelanggan perniagaan kosmetik suspek,” katanya.

Katanya, jumlah keuntungan yang ditawarkan suspek bergantung kepadanya dan suspek tidak pernah menetapkan peratusan keuntungan bagi setiap pelaburan ditawarkan.

“Suspek kini direman selama dua hari sehingga esok dengan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Polis masih mengumpul bukti-bukti keterangan bagi tujuan pendakwaan dan orang ramai yang menjadi mangsa penipuan diminta tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya



Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button