Polis lumpuhkan ‘rangkaian komunikasi penjenayah’ global

Oleh – Syeikh Baran


Polis lumpuhkan 'rangkaian komunikasi penjenayah' global

Seorang ‘pakar komputer’ Australia berusia 32 tahun ditangkap kerana disyaki menjadi dalang di sebalik rangkaian aplikasi mesej sulit untuk penjenayah di seluruh dunia bagi memudahkan urus niaga dadah dan arahan pembunuhan.



Polis Persekutuan Australia berkata, aplikasi yang dikenali sebagai ‘Ghost’ itu dipasarkan sebagai ‘tidak boleh digodam’ dan digunakan secara meluas oleh ratusan penjenayah, dipercayai dari Itali, Asia Barat dan Asia.

Bagaimanapun, tanpa diketahui pengguna, pihak berkuasa undang-undang antarabangsa berjaya menggodam aplikasi berkenaan.

Mereka berjaya memantau aktiviti yang dirancang penjenayah terutama mengenai pengedaran dadah, pengubahan wang haram, pembunuhan dan keganasan.

Sejak kelmarin, pihak berkuasa global mengambil keputusan untuk bertindak dan menangkap penjenayah yang disyaki dari Itali, Ireland, Sweden, Kanada dan Australia termasuk dalang aplikasi terbabit.



Pengarah Eksekutif Europol, Catherine De Bolle, berkata pihak penguatkuasa undang-undang dari sembilan negara terbabit dalam operasi serbuan antarabangsa itu.

“Hari ini, dengan dengan jelas terbukti bahawa tidak kira betapa tersembunyinya aktiviti yang dilakukan oleh penjenayah, mereka tidak boleh mengelak daripada usaha bersepadu yang dilakukan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Dalam pada itu, agensi penguatkuasaan undang-undang dijangka memberikan perkembangan terbaharu mengenai operasi pada hari ini.

Aplikasi ‘Ghost’ iaitu satu aplikasi mesej khas untuk penjenayah, dicipta sembilan tahun lalu dan hanya boleh diakses melalui telefon pintar diubah suai, yang dijual pada harga kira-kira AUD$2,350 (RM6,730).



Polis Australia mendakwa, harga pembelian aplikasi berkenaan termasuk langganan enam bulan, sokongan teknikal dan pengguna dikehendaki membeli langganan secara berterusan.

Sementara itu, Gendarmerie Perancis mengesan lokasi pencipta aplikasi berkenaan di Australia dan bekerjasama dengan polis tempatan bagi menyasarkan suspek terbabit.

Pencipta aplikasi berkenaan kerap mengeluarkan kemas kini perisian seperti yang diperlukan untuk telefon bimbit.

Bagaimanapun, polis Australia berjaya mencari kelemahan dalam kemas kini dan mengakses kandungan pada peranti berkenaan pada 2022.



Selama dua tahun, pihak berkuasa berjaya memantau aplikasi berkenaan, yang semakin popular dan penjenayah saling bertukar mesej termasuk 50 ancaman bunuh yang berjaya digagalkan polis Australia.

Penolong Komisioner Polis Persekutuan Australia, Kirsty Schofield, berkata pihak polis berjaya memintas imej individu mengacu pada kepala mangsa dan berjaya menyelamatkannya dalam masa satu jam.

Timbalan Komisioner Polis Persekutuan Australia, Ian McCartney, berkata adalah cabaran yang amat serius kepada penguatkuasa undang-undang untuk mendapatkan akses kepada mesej yang disulitkan.

“Ya, kami telah berjaya, tetapi saya fikir ancaman dan cabaran seumpamanya masih berterusan,” katanya.



Sebanyak 376 telefon bimbit dikesan menggunakan aplikasi Ghost di Australia sahaja. – AFP

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button