Bekas akauntan syarikat didakwa di mahkamah pecah amanah lebih RM1 juta

Oleh – Syeikh Baran


Bekas akauntan syarikat didakwa di mahkamah pecah amanah lebih RM1 juta

Seorang bekas akauntan sebuah syarikat agensi keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah lebih RM1 juta, empat tahun lalu.



Bagaimanapun, tertuduh S Nagindran, 35, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan sebagai akauntan syarikat G15 Security Berhad, melakukan pecah amanah dengan mengambil wang milik syarikat itu berjumlah RM1,042,980.98 untuk kegunaan sendiri.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Brickfields di sini, antara 20 Mac 2020 hingga 22 Disember 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Lelaki itu juga berdepan tiga pertuduhan pilihan iaitu menyalahgunakan wang milik syarikat berkenaan berjumlah RM1,042,980.98 di lokasi dan tarikh sama.



Pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara enam bulan hingga lima tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya R Harvind mencadangkan jaminan RM50,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan syarat tambahan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai, namun peguam Lee Keng Fat memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga.

Hakim Azrul Darus membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 18 Oktober ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button