Cikgu rugi RM527,733 diperdaya ‘pegawai kerajaan’

Oleh – Syeikh Baran


Cikgu rugi RM527,733 diperdaya 'pegawai kerajaan'

Berulang kali hebahan nasihat dilakukan namun masih ramai mangsa diperdaya ‘scammer’ menyamar sebagai pegawai kerajaan menerusi panggilan telefon.



Terbaru seorang guru wanita di Raub kerugian RM527,733 akibat diperdaya individu menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Pahang, Datuk Sri Yahaya Othman berkata, berdasarkan laporan, mangsa berusia 51 tahun mendakwa menerima panggilan telefon daripada individu menyamar sebagai kakitangan MCMC.

Menurutnya, suspek mendakwa kononnya terdapat aduan terhadap nombor telefon mangsa pada 5 Ogos lalu.

Katanya, panggilan telefon itu kemudian disambungkan kepada suspek lain yang menyamar sebagai pegawai polis.



“Suspek mendakwa mangsa mempunyai barang-barang yang menyalahi undang-undang dan terbabit

dengan pengubahan wang haram dan mahkamah sudah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

“Mangsa diarahkan untuk membuka akaun bank baru bersama kad mesin automatik mesin (ATM) dengan nombor pin diberikan suspek.

“Dalam tempoh 9 Ogos hingga 13 September lalu mangsa diminta memindahkan semua wang simpanan dan wang hasil jualan barang kemas ke akaun bank itu bagi tujuan siasatan.



“Mangsa turut diarah membuat pinjaman peribadi berjumlah RM250,000 daripada sebuah bank dan dimasukkan ke dalam akaun bank itu.

“Suspek meminta mangsa meletakkan kad ATM di lokasi ditetapkan. Siasatan mendapati sumber wang kerugian ini adalah wang simpanan, barang kemas dan pinjaman peribadi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya tadi.

Susulan kes itu, beliau menasihati orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan. “Masyarakat juga diingatkan sentiasa berhati -hati dan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya bagi mengelakan menjadi mangsa penipuan atas talian,” katanya.



Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button