Korea Selatan belanja puluh juta perangi teknologi ‘deepfake’
Oleh – Syeikh Baran
Polis Korea Selatan merancang membelanjakan hampir AS$7 juta (RM29.47 juta) dalam tempoh tiga tahun bagi memerangi teknologi ‘deepfake’, peniruan suara serta pelbagai bentuk penipuan digital lain.
Sejak kebelakangan ini, pihak berkuasa menemui rangkaian terbesar di Telegram yang mana pengguna berkongsi pornografi ‘deepfake’ dihasilkan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang menggambarkan pelajar dan kakitangan wanita.
Pendedahan itu menimbulkan rasa tidak puas hati orang awam dan berikutan itu presiden berikrar mengambil tindakan tegas kepada pelaku.
Agensi Polis Nasional Seoul hari ini berkata, pihaknya memperuntukkan 2.7 bilion won setahun sehingga 2027 untuk membangunkan teknologi pembelajaran mendalam bagi mengesan kandungan yang dihasilkan secara digital seperti ‘deepfake’ dan peniruan suara.
Selain itu, mereka juga akan membelanjakan ratusan ribu dolar untuk menaik taraf perisian yang sedia ada bagi memantau ‘deepfake’ dan video lain yang dihasilkan oleh AI.
Namun, kadar pendakwaan masih rendah. Dari 2021 hingga Julai tahun ini, sebanyak 793 jenayah ‘deepfake’ dilaporkan, tetapi hanya 16 orang berjaya ditangkap dan didakwa, menurut data polis.
Minggu lalu, Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, berkata isu ‘deepfake’ menimbulkan kebimbangan terutamanya dalam kalangan wanita, kerana ia adalah jenayah serius yang merosakkan keharmonian sosial.
“Berikutan itu saya mendesak kementerian yang berkaitan untuk mengambil tindakan tegas,” katanya.
Pada akhir Ogos, sebanyak 84 organisasi berkaitan wanita mengeluarkan kenyataan bersama bahawa punca utama krisis ‘deepfake’ adalah disebabkan diskriminasi gender yang sangat meluas dalam masyarakat dan penyelesaian untuk masalah itu adalah dengan mencapai kesetaraan gender- AFP
Sumber – BERITA HARIAN