Lelaki rugi RM170,000, cemas dituduh terlibat kes jenayah

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki rugi RM170,000, cemas dituduh terlibat kes jenayah

Pemilik syarikat kejuruteraan menjadi mangsa ‘phone scam’ sehingga kerugian RM170,000 selepas diperdaya ‘pegawai polis’ dan ‘pegawai bank’ bulan lalu.



Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 48 tahun kelmarin.

Katanya, lelaki itu menerima panggilan daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai pegawai bank pada pukul 11.45 pagi, 10 Ogos lalu.

Suspek mendakwa akaun bank milik mangsa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram sebelum panggilan disambung kepada suspek lain yang menyamar sebagai pegawai polis.

“Suspek (pegawai polis) mengesahkan siasatan sedang dijalankan terhadap akaun mangsa.



“Bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang, mangsa diarahkan untuk memindahkan wang ke dalam akaun bank yang diberikan dan wang akan dikembalikan selepas siasatan selesai,” katanya kepada pemberita hari ini.

Mangsa mengikuti arahan suspek dengan  memindahkan wang ke dalam tujuh akaun bank dengan jumlah keseluruhan RM170,000.

“Mangsa menyedari dia ditipu setelah suspek gagal dihubungi untuk mendapatkan status siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button