Taikun hartanah Vietnam berdepan pertuduhan baharu selepas dijatuhi hukuman mati
Oleh – Syeikh Baran
Taikun hartanah Vietnam, Truong My Lan yang sebelum ini dijatuhi hukuman mati, kini berdepan perbicaraan baharu yang bermula hari ini atas pertuduhan tambahan membabitkan penipuan kewangan.
Media negara ini melaporkan Lan yang juga Pengerusi Van Thinh Phat Holdings Group, didakwa atas pertuduhan mendapatkan hartanah melalui penipuan, pengubahan wang haram dan pemindahan wang merentasi sempadan secara haram.
Lan adalah antara eksekutif perniagaan berprofil tinggi dan pegawai kerajaan yang dipenjarakan dalam kempen antirasuah dikenali sebagai ‘Blazing Furnace’.
Perbicaraan itu dijadualkan berlangsung selama sebulan di bandar Ho Chi Minh.
Seramai 33 individu yang didakwa sebagai rakan subahat Lan, akan turut dibicarakan. Pihak berkuasa menjangka kehadiran mencecah 1,000 orang setiap hari sepanjang perbicaraan itu.
Lan didakwa mendapatkan dana secara haram sebanyak 30 trilion dong melalui penerbitan bon, memindahkan AS$4.5 bilion secara haram ke dalam dan ke luar Vietnam, serta pengubahan wang haram sebanyak 445 trilion dong, menurut kenyataan polis yang dikeluarkan sebelum perbicaraan.