Tupperware failkan kebankrapan di AS
Oleh – Syeikh Baran
Tupperware, pengeluar bekas plastik yang terkenal memfailkan kebankrapan di Amerika Syarikat (AS) selepas bertahun-tahun mengalami masalah kewangan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Tupperware Brands Corp sedang berusaha menjual perniagaannya sambil meneruskan operasi seperti biasa. Syarikat itu memfailkan kebankrapan di bawah perlindungan Bab 11, di bawah undang-undang kebankrapan AS.
Syarikat yang berpangkalan di Orlando dan diasaskan pada 1946 oleh Earl Tupper pernah menjadi simbol kemakmuran selepas Perang Dunia Kedua, terkenal dengan mangkuk dan bekas dapurnya yang inovatif.
Namun, Tupperware kini berdepan cabaran besar termasuk persaingan sengit dalam pasaran barangan rumah dan lonjakan jualan dalam talian yang menjejaskan kedudukannya.
Presiden dan ketua pegawai eksekutif Tupperware, Laurie Ann Goldman pada Selasa berkata, “Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kedudukan kewangan syarikat terjejas teruk akibat persekitaran ekonomi global.
“Kami mempertimbangkan banyak pilihan dan memutuskan bahawa ini adalah langkah terbaik untuk masa depan,” katanya.
Menurut kenyataan syarikat itu, langkah terbaik untuk melindungi jenama Tupperware adalah dengan menjual syarikat berkenaan.
Sumber – HARIAN METRO