Lima sahabat didenda RM7,500 curi minyak keladak milik FGV
Oleh – Syeikh Baran
Lima sahabat didenda sebanyak RM7,500 setiap seorang di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan mencuri minyak keladak milik FGV Palm Industri Sdn. Bhd. di Jempol, Isnin lalu.
Kesemua tertuduh dijatuhkan hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan bersama yang dibacakan di hadapan Majistret, Saiful Sayoti.
Saiful turut menetapkan hukuman satu tahun penjara sekiranya tertuduh iaitu S. Chandrasegaran, 41, G R Nagiah, 43, N. Shanmugam, 46, K. Gobi, 37, dan Sugumaran, 36, gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan.
Saiful berkata, hukuman dibuat setelah mempertimbangkan rayuan yang dibuat tertuduh dan hujahan pemberat dengan mengambil kira kerugian yang dialami syarikat serta kepentingan awam.
“(Jenayah) dirancang dengan penyewaan lori dan ini merugikan syarikat (FGV). Hukuman lebih berat untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam agar tidak mengulangi jenayah ini,” katanya.
Berdasarkan pertuduhan bersama, kesemua tertuduh bersama dua lagi individu yang masih bebas didapati telah mencuri minyak keladak sawit milik FGV Palm Industri Sdn Bhd.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 1.30 pagi di Kolam Minyak Keladak Kilang Sawit Serting, di Jempol pada 16 September lalu.
Bagi pertuduhan tersebut, lima sahabat itu didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, kegiatan tertuduh itu dikesan polis bantuan bertugas yang ternampak individu tidak dikenali bersama tiga buah lori dan sebuah pacuan empat roda di kawasan kolam lalu menghubungi pihak polis lalu tertuduh ditangkap.
Hasil pemeriksaan di bahagian belakang ketiga-tiga lori terdapat 24 tong putih berisi minyak keladak sawit dan soal siasat suspek mengaku telah melakukan kegiatan ini sejak awal bulan September, selain kecurian berkenaan merupakan kali kedua dilakukan.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dengan empat daripadanya bekerja sebagai pemandu lori, manakala, seorang lagi, pengawal keselamatan memohon meringankan hukuman memandangkan mempunyai tanggungan ke atas keluarga.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Huzaifah Abdul Talib dalam hujahannya memohon hukuman setimpal memandangkan minyak keladak yang dicuri antara kegunaannya adalah membuat sabun dan anggaran kerugian yang ditanggung adalah kira-kira RM50,000.
Sumber – KOSMO! ONLINE