Peniaga melopong RM200,000 dikebas scammer

Oleh – Syeikh Baran


Peniaga melopong RM200,000 dikebas scammer

Taktik ‘scammer’ yang menawarkan skim pelaburan dengan keuntungan luar biasa dalam tempoh yang singkat diketahui umum, namun masih ada terjerat perangkap tersebut.



Terbaharu, seorang peniaga makanan di daerah ini berputih mata setelah kerugian RM200,000 terpedaya dengan sindiket pelaburan yang tidak wujud yang menabur janji manis keuntungan RM100,000 dalam masa dua hari.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintenden Dr. Mohd. Roslan Mohd. Tahir berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun itu, semalam. yang mendakwa menjadi mangsa scammer.

Beliau berkata, mangsa mendakwa ternampak iklan skim pelaburan di Facebook yang menawarkan keuntungan RM100,000 dalam masa dua hari sekiranya melabur RM10,000.

“Mangsa dikatakan hanya perlu membuat bayaran ke akaun yang diberikan dan menunggu pulangan wang. Mangsa tertarik dengan kaedah yang mudah dan komisen yang tinggi serta cepat.



“Mangsa telah membuat lima transaksi pembayaran antara 3 September hingga Ahad lalu ke satu akaun sebuah syarikat keseluruhannya berjumlah RM200,000 untuk mendapatkan keuntungan yang banyak,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut beliau, mangsa mula rasa ditipu apabila masih tidak menerima apa-apa keuntungan.

Malah, katanya, suspek meminta mangsa membuat bayaran tambahan dengan memberikan pelbagai alasan untuk tidak memberikan keuntungan yang dijanjikan.

“Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.



“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu dan siasatan juga akan meliputi pembabitan keldai akaun, sekiranya ada dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun yang terbabit,” jelasnya.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai sebarang tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan komisen yang tinggi dalam masa yang singkat.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button