Bekas Datuk Bandar Filipina disyaki pengintip China
Oleh – Syeikh Baran
Senator Filipina mengetuai siasatan mengenai dakwaan mengaitkan bekas datuk bandar dengan sindiket jenayah China, berkata beliau tidak menolak kemungkinan individu berkenaan turut terbabit dalam pengintipan.
Senator Risa Hontiveros, memberitahu wartawan asing, beliau enggan membuat sebarang kesimpulan sebelum menyiasat lebih lanjut mengenai Alice Guo, warga Filipina berketurunan Cina yang pernah menjadi Datuk Bandar Bamban.
Alice Guo, juga dikenali sebagai warganegara China, Guo Hua Ping, berdepan tuduhan jenayah termasuk rasuah, kerana menyalahgunakan kuasa untuk membenarkan perjudian luar pesisir berkembang di bandarnya.
Sebuah Jawatankuasa Senat yang diketuai oleh Hontiveros melancarkan siasatan terhadap Alice Guo pada Mei lalu selepas serbuan sebuah kasino di Bamban, di wilayah Tarlac, di Luzon Tengah, di utara Filipina.
Pihak berkuasa mendedahkan apa yang digambarkan sebagai penipuan yang dikendalikan dari sebuah fasiliti yang sebahagiannya dimiliki oleh Alice Guo.
Dalam pendengaran jawatankuasa Senat sebelum ini, Hontiveros bertanya kepada Alice Guo sama ada dia adalah ‘aset’ untuk China.
Alice Guo menegaskan bahawa dia adalah warganegara Filipina yang dilahirkan secara sah, dan menafikan bahawa dia seorang perisik, serta tuduhan lain terhadapnya, yang dianggapnya sebagai berniat jahat.
Kes itu tercetus ketika kecurigaan Filipina semakin meningkat mengenai aktiviti China berikutan pertikaian yang semakin tegang berhubung terumbu dan beting di laluan air yang sibuk di Laut China Selatan, di mana kedua-dua negara membuat tuntutan.
Kedutaan China di Manila dan peguam Alice Guo belum memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas mengenai kenyataan Hontiveros.
Mahkamah menangguhkan pendakwaan Alice Guo yang dijadualkan pada Jumaat sementara ia memutuskan rayuannya untuk membatalkan kes terbabit.
Alice Guo, yang menjadi Datuk Bandar Bamban sejak 2022, dipecat dari jawatan itu oleh Ombudsman bulan lalu atas kesalahan berat. Dia juga menghadapi tuduhan pengubahan wang haram oleh Jabatan Kehakiman.
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, menggesa Alice Guo mendedahkan bagaimana perniagaan perjudian dalam talian menyasarkan pelanggan di China, di mana perjudian adalah haram, yang kini bercabang kepada jenayah lain.
Sebelum Pengendali Perjudian Luar Pesisir Filipina atau dikenali sebagai POGO diharamkan di Filipina, China mendesak Manila untuk melarang permainan dalam talian bagi menyokong tindakan kerasnya terhadap perjudian rentas sempadan.
“Dalam kes peningkatan POGO dan individu seperti Guo Hua Ping, kami melihat banyak hubungan mendalam dengan sindiket jenayah transnasional.
“Mereka yang menjadi mangsa bukan sahaja kepada warga kita di Filipina, tetapi juga warga pelbagai negara dari seluruh dunia.
“Justeru, ini isu lebih besar, tidak terhad kepada Filipina sahaja dan siasatan Senat baharu bermula,” kata Hontiveros. – REUTERS