Penganggur buang bayi didenda RM2,000

Oleh – Syeikh Baran


Penganggur buang bayi didenda RM2,000

Seorang penganggur didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Ahad selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membuang bayi lelaki yang baru dilahirkan di belakang rumah di Kampung Sungai Bedal, Temangan di sini pada 7 September lalu.



Tertuduh, Siti Nabila yang berusia 22 tahun itu membuat pengakuan selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Amal Razim Alias.

Mengikut pertuduhan, wanita berkenaan sebagai ibu kepada seorang kanak-kanak berusia satu hari didakwa meninggalkan kanak-kanak itu dengan niat hendak membuang kanak-kanak itu.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 6 petang di belakang sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Sungai Bedal, Machang pada 7 September lalu.

Siti Nabila yang masih berpantang itu didakwa mengikut kesalahan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi, yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.



Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Amal Razim bertanya punca yang menyebabkan Siti Nabila meninggalkan bayi tersebut di luar rumah sama ada dia cemas atau takut.

Siti Nabila menjawab dia berbuat demikian kerana takut kelahiran bayi itu diketahui ahli keluarganya.

 



“Mahkamah mengambil kira keselamatan bayi tersebut yang diambil oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk dijaga selepas ditemui dalam keadaan selamat.

“Mahkamah turut berharap tertuduh dapat menjaga bayi berkenaan sebaik mungkin. Awak (Siti Nabila) bernasib baik kerana anak masih lagi hidup ketika ditemui.

“Sekiranya terjadi apa-apa kepada bayi berkenaan, pertuduhan lebih berat akan dikenakan terhadap kamu. Diharap keluarga dapat memberi sokongan untuk menjaga bayi tersebut dan mengambil iktibar,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 dan penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.



Tertuduh membayar denda yang ditetapkan mahkamah.

Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button