Syiling lama Denmark dijual hampir RM70 juta

Oleh – Syeikh Baran


Syiling lama Denmark dijual hampir RM70 juta

Koleksi duit syiling Denmark yang diarahkan untuk tidak dijual selama satu abad, akhirnya dilelong di sini, baru-baru ini.



Selepas lelongan selama lapan jam di ibu kota Denmark, 286 syiling itu dijual pada harga 14.8 juta euro (RM69.6 juta), lapor agensi berita Ritzau.

Michael Fornitz, pengarah rumah lelongan Stack’s Bowers cawangan Denmark memberitahu, jumlah akhir itu melebihi anggaran awal sebanyak 25 peratus.

Lelongan itu adalah kumpulan pertama syiling yang dijual daripada kira-kira 20,000 syiling dalam koleksi Bruun.

Koleksi itu disimpan dan tidak dijual selama satu abad.



Pada 1922, Lars Emil Bruun, seorang usahawan dan pakar duit syiling Denmark, membeli koleksi itu daripada keluarga bangsawan Bille-Brahe.

Bruun meninggal dunia setahun kemudian dan meletakkan syarat dalam wasiatnya supaya koleksi itu tidak dijual selama 100 tahun selepas kematiannya.

“Kisahnya ialah Bruun, selepas melihat kemusnahan Perang Dunia Pertama, sangat bimbang sesuatu akan berlaku kepada koleksi kebangsaan (muzium),” kata Helle Horsnaes, ketua koleksi syiling dan pingat di Muzium Negara Denmark, kepada AFP pada Mei lalu.

“Oleh itu, dia membuat wasiat, menyatakan koleksinya harus disimpan sebagai simpanan untuk koleksi kebangsaan selama 100 tahun selepas kematiannya,” tambahnya.



Muzium Negara Denmark, yang mempunyai hak keutamaan dalam perjanjian antara Bruun dan keluarga Bille-Brahe, membayar satu juta euro untuk tujuh syiling daripada koleksi itu awal tahun ini.

Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button