UMNO percaya surat layang di DUN Mahkota permainan orang luar – Asyraf Wajdi
Oleh – Syeikh Baran
UMNO yakin surat layang yang disebarkan kepada pengundi Cina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota adalah permainan pihak luar kerana konsep bangsa Johor itu sendiri meraikan semua bangsa dan agama.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tidak timbul dakwaan UMNO Johor sombong kerana parti itu meraikan semua bangsa selari dengan konsep bangsa Johor yang dipraktikkan di negeri Darul Takzim itu.
“Saya rasa kita (UMNO) meraikan semua rakyat tanpa mengira kaum selama ini.
“Johor ini dia istimewa kerana dia menggunakan model bangsa Johor. Konsep bangsa Johor ini dia tidak mengira kaum agama dan itulah apa model ataupun acuan yang digunakan oleh Barisan Nasional (BN) di Johor.
“Yang mana yang bawa suara tu (surat layang), saya percaya itu daripada suara bukan orang Johor. Orang di luar, bahkan saya pun tak berhak bercakap mengenai Johor kerana istimewanya kerana dia bangsa Johor,” katanya ketika ditemui media, pada Ahad.
Pada Sabtu, Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi mendedahkan surat layang yang diedar di perumahan pengundi Cina.
Dalam terjemahan surat layang berkenaan, pengundi Cina digesa supaya tidak undi BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota sebagai memberi pengajaran kepada UMNO yang didakwa sombong sekali gus untuk semak dan imbang dalam Kerajaan Negeri Johor.
Sehubungan itu, Shu Qi yang juga ahli DAP meminta penyebar surat layang berkenaan menghentikan taktik kotor berkenaan kerana bercanggah dengan konsep demokrasi yang harus didukung.
Sementara itu, ditanya adakah UMNO akan melakukan sebarang tindakan berhubung serangan surat layang berkenaan, beliau bagaimanapun menyifatkan tiada keperluan untuk melayan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.
“Kita hanya mempromosikan keunikan bangsa Johor. Ya itu yang kita guna.
“Nama pun surat layang, kalau kita layan, dia akan jadi melayang-layang,” tegasnya.
Sumber – SINAR HARIAN