Abang, adik maut dalam perjalanan ke kubur ayah

Oleh – Syeikh Baran


Abang, adik maut dalam perjalanan ke kubur ayah

Seorang pemuda dan adik perempuannya berusia lima tahun maut selepas motosikal yang mereka tunggang merempuh kontena sampah pukal roro di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) dekat Stadium Hang Jebat, lewat petang semalam.



Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 petang itu, mangsa, Muhammad Amirul Hazlin, 18, dan Nur Afiqah Sofea Hazlin disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di zon merah Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Demak DV110 dalam perjalanan dari arah Ayer Keroh menghala ke Sungai Udang.

“Semasa sampai di lokasi kemalangan, penunggang dipercayai tidak perasan sebuah kontena roro berada di bahu jalan lalu melanggar kontena sampah pukal berkenaan.

“Akibat kemalangan itu mangsa dan seorang kanak-kanak iaitu adiknya yang dibawa bersama mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan,” katanya kepada pemberita, hari ini.



Kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan menziarahi kubur ayah mereka di Tanah Perkuburan Islam Bertam Hulu dekat sini.

Lebih memilukan nahas tersebut turut disaksikan si ibu, Norizan Ujak, 40, yang mengekori kedua-dua anaknya dengan menunggang motosikal berasingan.

Mengulas lanjut Christopher berkata, pemuda berkenaan bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada pukul 7.40 malam, manakala adiknya turut menghembuskan nafas terakhir 12.30 tengah malam tadi.

“Mayat kedua-dua beradik itu telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka dan Pol 61 dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian.



“Kita sedang mengesan pemilik roro dan saksi bebas yang melihat kejadian. Setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button