Enam premis GISBH di Seremban digempur, disita

Oleh – Syeikh Baran


Enam premis GISBH di Seremban digempur, disita

Enam premis yang disyaki mempunyai kaitan dengan syarikat GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Garden Homes, Seremban 2 di sini hari ini digempur Majlis Bandaraya Seremban (MBS) selepas dikesan beroperasi tanpa lesen dan meletakkan barang peniagaan di kaki lima.



Setiausaha MBS, Mas Midyawan Yahya berkata, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 24 notis kompaun atas pelbagai kesalahan dan tiga notis sitaan kepada premis berkenaan dalam operasi bermula 12 tengah hari hingga 3.30 petang tadi.

“Daripada enam premis tersebut, empat premis beroperasi tanpa lesen termasuk kedai runcit dan restoran, satu premis mempunyai lesen perniagaan yang sah dan satu premis beroperasi dengan lesen tamat tempoh.

“Kesalahan yang dikesan dilakukan premis termasuk membuat halangan di tempat awam dengan meletakkan barang perniagaan di kaki lima awam, mengubah suai premis tanpa kebenaran dan pemasangan ‘awning’ tanpa permit,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika operasi dijalankan kesemua enam premis tidak menjalankan perniagaan.



Menurut Mas Midyawan, mengikut rekod sebelum ini, premis yang tidak berlesen telah membuat permohonan lesen perniagaan, namun permohonan tersebut ditolak kerana tidak memenuhi syarat seperti kesalahan ubah suai bangunan.

Dalam pada itu, beliau berkata, tindakan penguatkuasaan yang dilakukan bukan hanya pada premis milik GISBH sebaliknya meliputi semua peniaga dan berharap mereka mematuhi peraturan ditetapkan.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button