Serang Balai Polis: Bicara 5 sekeluarga dipindah ke Mahkamah Tinggi KL

Oleh – Syeikh Baran


Serang Balai Polis: Bicara 5 sekeluarga dipindah ke Mahkamah Tinggi KL

Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan kes melibatkan lima ahli keluarga suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram yang mengakibatkan dua polis terkorban pada Mei lalu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.



Hakim Rasidah Roslee mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes yang dihadapi kesemua tertuduh.

Rasidah memerintahkan Radin Imran Radin Mohd. Yassin, 62, dan anaknya, Radin Romyullah Radin Imran, 34, ditempatkan di Penjara Sungai Buloh, manakala isterinya, Rosna Jantan, 59, dan Farhah Sobrina Radin Imran, 23, diletakkan di Penjara Kajang.

Mahkamah turut memerintahkan Mariah Radin Imran, 19, ditempatkan ke Hospital Permai Johor Bahru bagi menjalani pemeriksaan kesihatan mental.

Radin Imran yang juga bapa suspek kejadian serangan pada 17 Mei itu didakwa menggalakkan perbuatan pengganas dengan cara menanam ideologi keganasan berkaitan Islamic State (IS) kepada isterinya, dua anak lelaki termasuk suspek berumur 21 tahun dan Radin Romyullah serta dua anak perempuannya, Farhah Sobrina dan Mariah.



Radin Imran juga didakwa atas tiga lagi pertuduhan memberi sokongan kepada perbuatan pengganas dengan menyimpan empat pucuk senapang angin buatan sendiri untuk menjalankan aktiviti IS, berbaiah kepada pemimpin Abu Bakar Al-Baghdadi dan memiliki buku berkaitan IS.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram di sini pada penghujung 2014 hingga 17 Mei lepas.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 130G(a), Seksyen 130J(1) dan Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan.

Tertuduh kedua, Radin Romyullah yang juga abang suspek didakwa atas dua pertuduhan iaitu berbaiah kepada pemimpin kumpulan IS dan memiliki satu ‘external hard disc’ yang mengandungi bahan IS dan aktiviti kumpulan itu di lokasi sama.



Kesalahan dilakukan pada penghujung 2014 hingga 17 Mei lalu mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan. Rosna yang jjuga warga Singapura dan Farhah Sobrina serta Mariah pula didakwa dengan sengaja meninggalkan daripada memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan.

Ketiga-tiga mereka didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi sama antara April 2017 hingga 17 Mei lepas dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button