Tauke aksesori telefon, penjaja pasar rasuah PBT berniaga tanpa lesen
Oleh – Syeikh Baran
Seorang pemilik syarikat aksesori telefon mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana merasuah penguatkuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) sebanyak RM3,000, pada Januari lalu.
Tertuduh, Tan Poh Wey, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memberi suapan RM3,000 kepada Syed Hanif Syed Nasir, 31, agar tidak mengambil tindakan terhadap premisnya yang beroperasi tanpa lesen di Jalan Pulai Mutiara 4/7, Taman Pulai Mutiara, di sini pada pukul 5 petang, 23 Januari lalu.
Sementara itu, di mahkamah sama, seorang penjaja pasar malam, Wong Chee Khoi, 56, juga mengaku tidak bersalah kerana merasuah seorang penguatkuasa MBIP sebanyak RM1,000 pada November tahun lalu.
Tertuduh membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim yang sama.
Berdasarkan kertas pertuduhan, bapa kepada dua orang anak itu didakwa memberi suapan RM1,000 kepada Syamsuddin Ab. Rahman, 46, agar tidak mengambil tindakan kepadanya yang berniaga tanpa lesen di Jalan Persiaran Teknologi 1, dekat sini pada pukul 8.20 malam pada 2 November tahun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.
Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 kepada Poh Wey manakala jaminan RM4,000 kepada Chee Khoi dengan keduanya perlu menyerahkan pasport antarabangsa serta melapor diri di ibu pejabat SPRM Johor sebulan sekali.
Ahmad Kamal Arifin kemudian menetapkan tarikh 21 dan 22 Oktober untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen kedua-dua tertuduh.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Rais Adha Ramli dan Nur Mahirah Mohd. Pauzi, manakala Poh Wey diwakili peguam K. Bharathi, manakala Chee Khoi pula diwakili peguam, Lim Chon Sin.
Sumber – KOSMO! ONLINE