Kakitangan AADK diberi amaran, tiada kompromi salah laku

Oleh – Syeikh Baran


Kakitangan AADK diberi amaran, tiada kompromi salah laku

Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) memberi amaran kepada semua kakitangannya supaya tidak terbabit dengan salah laku terutama pelanggaran integriti.



Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata pihaknya tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana kakitangan yang didapati melakukan kesalahan berkenaan.

“AADK ingin menarik perhatian mengenai laporan keputusan siasatan salah laku kakitangan AADK Negeri Kedah yang dikeluarkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

“Salah laku membabitkan kecuaian dalam mengendalikan keputusan saringan air kencing orang yang disiasat (OYDS) seperti yang disiarkan dalam media bertarikh 23 September.

“AADK amat mengalu-alukan laporan siasatan ini dan tidak sesekali berkompromi atau melindungi mana-mana kakitangan yang terlibat dengan salah laku dan pelanggaran integriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.



Ruslin berkata tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana individu yang didapati bersalah melakukan sebarang kesalahan berdasarkan peruntukan undang-undang semasa.

Beliau turut mengingatkan semua kakitangan AADK supaya melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan selaras dengan Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS).

“Unit Integriti AADK juga memanjangkan laporan EAIC terbabit kepada Pengarah AADK Negeri Kedah untuk diambil tindakan segera seperti disyorkan oleh EAIC.

“AADK akan terus bekerjasama erat dengan EAIC dalam usaha peningkatan tadbir urus yang baik dalam agensi khususnya yang melibatkan siasatan terhadap sebarang aduan salah laku dan integriti dalam kalangan kakitangan AADK,” katanya.



Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button