Kerana nak pinjam RM20,500, budak 5 tahun jadi mangsa
Oleh – Syeikh Baran
Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dibunuh dengan kejam oleh kenalan ibunya sendiri gara-gara kerap menagih hutang, lapor laman berita Tribunnews semalam.
Ketua Siasatan Jenayah Polis Daerah Cilegon, Asisten Komisioner Hardi Meidikson Samula berkata, mangsa bernama Aqilatunnisa Prisca Herlan, diculik sebelum mayatnya ditemui di Pantai Cihara, wilayah Banten pada Khamis lalu.
“Polis menahan lima suspek termasuk tiga perempuan di dua lokasi berbeza. Mereka juga mempunyai hubungan rapat dengan ibu mangsa.
“Motif penculikan dan pembunuhan mangsa dikaitkan dengan hutang antara suspek dengan ibunya,” kata Hardi.
Polis turut merampas beberapa bahan bukti termasuk dua senjata api, tiga telefon bimbit, sebilah pisau lipat, wang tunai dan beberapa kad sim.
Tambah Hardi, dua daripada suspek kerap meminta ibu mangsa menggunakan identitinya untuk membuat permohonan hutang secara dalam talian berjumlah 75 juta rupiah (RM20,500).
“Wang itu digunakan untuk perniagaan tetapi mereka akhirnya bankrap dan tidak mampu melangsaikan hutang kepada ibu mangsa,” tambahnya. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE