Masalah hutang motif kes bunuh jaga sekolah
Oleh – Syeikh Baran
Masalah peribadi dan hutang dipercayai motif kes pembunuhan seorang pengawal keselamatan yang mayatnya ditemui dalam but belakang sebuah kereta di tepi Jalan Pasir, Taman Pertama di sini, 16 September lalu.
Mangsa lelaki tempatan berusia 43 tahun itu dijumpai polis dalam Proton Saga BLM yang diparkir di kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Robin Guha Thakurta berkata, motif kejadian itu diperoleh menerusi hasil siasatan pihaknya ke atas seorang lelaki tempatan yang juga rakan sekerja mangsa.
Jelas beliau, suspek yang juga pengawal keselamatan berusia lingkungan 20-an ditahan pada 17 September lalu.
“Penahanan itu membawa kepada rampasan pelbagai barangan termasuk tiga bilah pisau yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian.
“Hasil siasatan mendapati motif kejadian berpunca masalah peribadi dan hutang antara mangsa dan suspek tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Tambah Robin, suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Kuala Selangor pukul 8.30 pagi esok.
“Suspek sebelum ini direman sebanyak dua kali bagi membantu siasatan polis.
“Kes berkenaan diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Sumber – KOSMO! ONLINE