Bicara Avitan Shalom Januari depan, 30 saksi dipanggil
Oleh – Syeikh Baran
Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan selama 12 hari pada Januari tahun depan bagi perbicaraan kes warga Israel, Avitan Shalom berkaitan senjata api dan peluru.
Tarikh-tarikh perbicaraan itu ialah 6 hingga 9, 13 hingga 16 serta 20 hingga 23 yang mana kesemua tarikh itu pada bulan Januari 2025.
Hakim Norina Zainol Abidin menetapkan tarikh itu selepas kedua-dua pihak bersetuju dengan cadangan tarikh baharu bagi perbicaraan kes tersebut.
Dalam prosiding hari ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam manakala tertuduh diwakili peguam-peguam Sreekant Pillai dan Jeffrey Ooi.
Semasa prosiding, Mustafa turut memaklumkan seramai 30 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan dalam kes itu.
Pada prosiding terdahulu, Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berkaitan kes itu tidak diedahkan kepada umum selain rakaman itu hanya boleh diberikan pada saksi pakar pembelaan.
Sebelum ini Avitan, 38, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan pindaan yang dibacakan semula terhadapnya dalam bahasa Inggeris.
Mengikut pertuduhan pindaaan pertama, Avitan didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun, dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini antara pukul 6.46 petang pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac lepas.
Sumber – KOSMO! ONLINE