Cerai selepas 40 hari kahwin, tak tahan suami malas mandi
Oleh – Syeikh Baran
Seorang wanita di Agra, negeri Uttar Pradesh memfailkan perceraian selepas 40 hari berkahwin kerana tidak tahan dengan sikap suaminya yang hanya mandi sekali atau dua dalam sebulan, lapor portal berita Oddity Central kelmarin.
Wanita yang tidak didedahkan namanya itu berkata, selain malas mandi, suaminya memakai pakaian kotor dan memiliki nafas berbau.
“Saya tidak dapat berdiri dekat dengannya, apatah lagi bermesra, menyebabkan saya mahu bercerai selepas 40 hari mendirikan rumah tangga.
“Dia hanya mandi enam kali dalam tempoh tersebut,” katanya.
Ketika disoal di pusat kaunseling keluarga, si suami yang bernama Rajesh mengaku perbuatan itu dan membersihkan badan dengan menyimbah Gangajal (air dari sungai Ganga) seminggu sekali.
“Pasangan itu mula bertengkar mengenai kebersihan suami beberapa minggu selepas berkahwin. Akhirnya, si isteri meninggalkan rumah mereka dan kembali tinggal bersama keluarganya.
“Keluarga wanita itu juga memfailkan aduan gangguan perkahwinan kepada polis dan memohon penceraian,” kata seorang kaunselor.
Si suami akhirnya mengalah dan berjanji untuk memperbaiki kebersihan diri tetapi isterinya enggan lagi hidup bersamanya. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE