Tumbuk pekerja kedai asam pedas, geram minuman tak sampai

Oleh – Syeikh Baran


Tumbuk pekerja kedai asam pedas, geram minuman tak sampai

 Seorang duda didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menumbuk muka pekerja sebuah kedai asam pedas gara-gara berang mangsa tidak menghantar minuman dipesannya, dua minggu lalu.



Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, Setia Maidin, 49, yang membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap seorang pekerja warga Bangladesh berusia 43 tahun.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 12 tengah hari di Gerai Nora Asam Pedas, Medan Selera Semabok dalam daerah Melaka Tengah, pada 22 September 2024.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.



Mengikut fakta kes, tertuduh bertindak menumbuk muka mangsa sebanyak dua kali dan sekali di bahagian telinga kiri selepas tidak berpuas hati mangsa tidak mengantar minuman dipesannya.

Perbuatan tertuduh menyebabkan telinga kiri mangsa berdarah, manakala pipi dan jari tangan kanannya turut bengkak akibat cuba menghalang mukanya daripada ditumbuk.

Terdahulu, Peguam Umar Zulkarnain yang mewakili tertuduh merayu agar hukuman anak guamnya diringankan dengan alasan tertuduh telah insaf, selain hanya bekerja sebagai pemandu lori sambilan dengan gaji RM9 sejam.

Tambahnya, tertuduh juga merupakan seorang duda dan menanggung anak berusia 12 tahun yang masih bersekolah. Lelaki itu juga merancang untuk berkahwin hujung tahun ini.



Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah Sofian memohon agar hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan msyarakat.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian memerintah tertuduh membayar denda RM1,000 atau penjara satu bulan jika gagal bayar.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button