[VIDEO] ADUN beri kata dua, baiki jalan atau mogok
Oleh – Syeikh Baran
Kegagalan Jabatan Kerja Raya (JKR) menyelesaikan jalan berlubang dari Jambatan Selat menghala Bandar Suleiman di sini sehingga menyebabkan takungan air jelas mengecewakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.
Malah, Azmizam turut memberi tempoh seminggu kepada JKR untuk membaiki jalan itu atau berdepan mogok yang akan dilaksanakan sebagai protes terhadap jabatan tersebut selepas hampir setahun gagal menyelesaikan masalah.
Beliau berkata, pihaknya kesal kerana ‘kelemahan’ JKR itu menyebabkan berlakunya kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal dan kenderaan berat pada minggu lalu.
“Datuk turunlah sendiri tengok keadaan jalan yang rosak dan berlubang ini. Hari ini, hari cuti (Ahad) pukul 5.40 petang. Inilah masa (yang sesuai) untuk memperbaiki jalan yang rosak kerana esok hari bekerja.
“Siapa kontraktor yang dilantik, di mana pegawai-pegawai?” katanya menerusi aplikasi TikTok rasminya.
Azmizam memberitahu, jalan tersebut merupakan laluan utama bagi 45,000 penduduk Bandar Sultan Sulaiman. Keadaan jalan yang rosak itu secara langsung boleh mengancam pengguna jalan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan ke-11 utama di dunia wajar mempunyai infrastruktur seperti jalan raya terbaik bukannya seperti keadaan sedia ada.
“Sebaliknya, apa yang berlaku kerosakan jalan tersebut menyebabkan berlaku kesesakan pada waktu puncak setiap hari sejak setahun lalu.
Sumber – KOSMO! ONLINE