Duit bantuan kerajaan dipakai beli dadah
Oleh – Syeikh Baran
Seorang lelaki di Khao Chakan, wilayah Sa Kaeo ditahan kerana mencuri wang bantuan kerajaan milik ibunya untuk membeli dadah, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Ketua Daerah Khao Chakan, Somjai Phutthasena sebelum itu mengarahkan siasatan terperinci dijalankan, manakala agensi-agensi berkaitan turut diarah memantau kegiatan jual beli dadah di kawasan tersebut.
Semasa rondaan, pegawai-pegawai menemui suspek, Pakorn yang berusia 29 tahun, sedang duduk di atas motosikal di tepi jalan.
Apabila melihat pegawai-pegawai itu, Pakorn cuba melarikan diri tetapi dia ditahan tidak lama kemudian.
Selepas melakukan pemeriksaan, polis menemui 49 pil methamphetamine disembunyikan di dalam beg plastik di bawah kakinya.
Pakorn kemudian mengaku bahawa dia baru sahaja menjual dadah itu selain turut mengaku mencuri kad bank milik ibunya untuk mengeluarkan wang bantuan kerajaan berjumlah 10,000 baht (RM1,300).
Suspek turut mendedahkan bahawa ibunya merupakan orang kelainan upaya (OKU).
Dia menggunakan keseluruhan jumlah itu untuk membeli dadah dengan harapan dapat memperoleh keuntungan dengan menjualnya.
“Saya hanya menggunakan methamphetamine sebelum ini tetapi kali ini saya memutuskan untuk menjualnya kerana saya melihat peluang untuk mendapatkan lebih banyak wang,” kata suspek. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE