Jiran dari ‘neraka’ buat hal lagi

Oleh – Syeikh Baran


Seorang wanita yang digelar jiran dari ‘neraka’ kini menetap di sebuah flat di Bukit Merah, Singapura selepas berpindah, lapor portal berita MSN News semalam.



Wanita itu mendapat gelaran tersebut selepas perbuatannya mengakibatkan beberapa penghuni berpindah dari unit flat mereka di Punggol.

Dia  didakwa mengulangi perbuatan lamanya dengan seorang penduduk  di bangunan flat Bukit Merah. Jirannya mengadu tentang bunyi bising berterusan kedengaran dari unit flat wanita berkenaan.

Seorang lelaki yang tinggal bersebelahan dengannya dikenali sebagai Lin memberitahu akhbar Shin Min Daily News bahawa dia berpindah ke flat berkenaan awal tahun ini.

Tidak lama selepas berpindah,  dia perasan jiran sebelah rumahnya sering membunyikan radio dengan kuat sehingga boleh didengari dari bilik tidurnya, kata Lin.



Menurut klip video dan audio yang dirakam Lin, jirannya akan memainkan muzik dengan kuat pada pukul 1 pagi, 3 pagi, 4 pagi, 6 pagi dan 8 pagi (waktu tempatan).

Dia juga akan menghempas pintu dengan kuat pada waktu tengah malam, katanya.

Lin berkata, dia telah meminta wanita berkenaan untuk tidak membuat bising tetapi jiran itu menjawab bahawa dinding flat itu yang terlalu nipis dan bunyi bising tersebut bukan salahnya. – AGENSI 

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button